Calon KDM Kiulu Henry Saimpon ambil “cuti rehat” berkempen untuk terima Ijazah Sarjana di UTM Johor

TUARAN: Biarpun sibuk dengan jadual berkempen dan program bertemu pengundi dari rumah ke rumah, Calon KDM Kiulu Gundohing Henry Saimpon sempat meluangkan masa untuk menghadiri Majlis Konvokesyen di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor hari ini.

Anak jati Kiulu itu merupakan salah seorang penerima Ijazah Sarjana Sains Politik.

Henry terlibat dalam pertandingan lapan penjuru bagi merebut kerusi DUN Kiulu dalam Pilihan Raya Umum Negeri Sabah pada 29 November (Sabtu ini).

Kesibukan berpolitik tidak menjadi halangan kepada Henry untuk memburu kejayaan dalam bidang pendidikan.

Dengan berkat usaha gigih, Henry pada mulanya berjaya memperolehi Diploma Sains Politik dari UTM sebelum meneruskan pengajian sehingga memperolehi Ijazah Sarjana di universiti yang sama.

“Saya bersyukur kerana selepas bekerja keras beberapa tahun, akhirnya saya menamatkan program ijazah sarjana ini.

“Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan penghargaan kepada para pensyarah atas bimbingan, ilmu pengetahuan, dan dorongan yang diberikan sepanjang pengajian.

“Tidak lupa juga saya ucapkan terima kasih kepada keluarga atas sokongan moral dan pengorbanan mereka yang tidak ternilai.

“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi untuk terus melakar kecemerlangan di masa hadapan, termasuk dalam arena politik,” katanya ketika dihubungi selepas majlis konvokesyen itu.

Sebelum memasuki kancah sepak terajang politik, Henry Saimpon, bekas pemain tengah Sabah, secara aktif terlibat dalam pengurusan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pertubhan Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDM Malaysia) dan kini memegang jawatan Timbalan Presiden KDM Malaysia.

Henry, 50, mula menyertai pasukan Liga Perdana Sabah 1997. 6

Beliau kemudiannya menyarung jersi pasukan Johor FC pada tahun 2002 sebelum kembali bermain dengan pasukan Sabah pada tahun 2004 sehingga 2009.

Pada 2019 sehingga 2020, Henry pula dilantik sebagai Pengurus Pasukan Bola sepak Sabah.

Kebolehan beliau mengurus pasukan itu terserlah apabila Sabah muncul juara Liga Perdana dan sekali gus layak ke Liga Super.

Pada 2018, Henry yang berasal dari Kampung Bongol, Kiulu mula berjinak-jinak dalam arena politik.

Penyertaannya dalam arena politik semakin ketara selepas beliau dilantik sebagai Naib Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pada 2023 yang pada ketika itu diterajui Datuk Peter Anthony.

Baru-baru ini, Henry melancarkan tujuh teras manifesto untuk rakyat DUN Kiulu.

Tujuh teras berkenaan menumpukan usaha memperhebat pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, memperkasakan industri pertanian, mengutamakan pemilikan tanah untuk penduduk tempatan dan mempercepat sistem PANTAS.

Turut dinyatakan ialah memartabatkan sukan, meningkatkan ekonomi termasuk eko-pelancongan, pendidikan dan kebajikan serta mengangkat adat dan kebudayaan tempatan sebagai identiti masyarakat Kiulu.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles