Oleh YB Datuk Armizan Mohd Ali, Tmbalan Setiausaha Agung GRS
KOTA KINABALU: Tuduhan DSP Bung Moktar Radin bahawa Kerajaan GRS paling gagal didunia adalah ibarat meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri.
Sebenarnya Kerajaan GRS kehilangan dua tahun pertama dalam fasa pentadbiran (2021-2022) kerana terpaksa menerima Bung Moktar sebagai Menteri Kerja Raya yang paling gagal dalam sejarah peradaban manusia.
Antara buktinya adalah isu air dan elektrik:
1. Isu Air – semasa 2 tahun Bung Moktar menjadi Menteri KKR Sabah tidak ada projek utama penstabilan bekalan air mula dilaksana. Contohnya di Tawau sendiri, Projek Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 2 Tawau hanya dilaksana selepas beliau tidak wujud di KKR, iaitu bermula 22 Julai 2025 dan dijangka siap 22 Julai 2028. Di kawasan saya di Papar juga, Projek Naik Taraf LRA Kogopon yang telah ada dalam perancangan lebih awal, hanya dapat dimulakan pada bulan Ogos 2023, setelah beliau tiada di KKR dan Datuk Shahelmy menjadi Menteri KKR baharu. Kedua-dua projek ini telah ada dalam perancangan, dan sebagai Menteri KKR, jangan tuding jari kegagalan kepada pihak lain. Realitinya beliau adalah Menteri gagal, kerana pengganti beliau telah berupaya menggerakkan projek-projek berkenaan. Kerajaan GRS juga telah merancang satu lagi projek baharu iaitu Projek LRA Balung II yang dijadual bermula tahun 2026.
2. Isu Elektrik – Kuasa kawal selia elektrik secara rasmi dipindahkan kepada Kerajaan Sabah hanyalah pada 3 Januari 2024, setelah 41 tahun kuasa kawal selia dipegang oleh Kerajaan Persekutuan iaitu sejak tahun 1983. Manakala, agensi pembekal tenaga iaitu Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sehingga kini masih dipegang secara majoriti oleh Kerajaan Pusat melalui TNB. Maka, tidak wajar hanya menyalahkan Kerajaan GRS kerana sekian lama kuasa dipegang oleh Kerajaan Pusat. Semasa menjadi Menteri KKR, walaupun elektrik bukanlah di bawah bidang tugas Menteri KKR, namun Bung sentiasa mahu tunjukkan kuasa sehinggakan dua orang Ketua UMNO Bahagian di Sabah dilantik duduk sebagai Ahli Lembaga Pengarah SESB atas lantikan Menteri Tenaga Malaysia dari Parti Umno melalui cadangan Bung sendiri. Jadi soalannya, apa sumbangan dan pencapaian wakil UMNO dalam SESB dan Menteri Tenaga UMNO menyelesaikan isu elektrik di Sabah, kuasa di tangan mereka pada masa itu. Ternyata wakil-wakil Umno ini gagal! Hakikatnya bila Bung dan UMNO tidak ada dalam Kerajaan Sabah dan kuasa kawal selia diberi kepada Kerajaan GRS, banyak projek penstabilan bekalan elektrik yang telah mula dilaksana, termasuk Projek Rangkaian Grid ke Pantai Timur Southern Link Fasa I yang bermula tahun 2024.
Takdir tuhan menentukan Bung sebagai ‘Menteri Gagal’ keluar dari Kerajaan Negeri telah membolehkan banyak projek penstabilan bekalan air dan elektrik telah mula berjalan di Sabah.
