KOTA KINABALU – Profesor Dr. Jacqueline Pugh-Kitingan, Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima Borneo Research Council (BRC) Medal of Excellence, iaitu anugerah tertinggi yang dianugerahkan oleh BRC kepada tokoh penyelidik yang menunjukkan sumbangan luar biasa terhadap pembangunan ilmu dan pemahaman tentang Borneo.
Penyampaian anugerah tersebut berlangsung di Bilik Mesyuarat Qasim Ahmad, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UMS, baru-baru ini.
Anugerah berprestij itu diumumkan oleh Borneo Research Council pada Julai 2025 sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi dan impak kerja penyelidikan Jacqueline dalam bidang ethnomusikolgi dan budaya Sabah.
Penglibatan aktif beliau bersama komuniti tempatan yang telah memperkaya pemahaman terhadap warisan, isu-isu masyarakat serta pembangunan kapasiti penyelidik muda di UMS turut menjadi faktor utama kepada pengiktirafan tersebut.
Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, pengiktirafan yang dianugerahkan ini membuktikan kemampuan penyelidik UMS untuk berdiri sebaris dengan pakar antarabangsa.
“Anugerah ini ibarat ‘Nobel Prize’ bagi penyelidikan Borneo, kerana ia bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan individu, tetapi juga komitmen universiti dalam memperkasa warisan dan budaya masyarakat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan aluan sempena Majlis Penganugerahan “Borneo Research Council Medal of Excellence” 2025. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan FSSK, Profesor Dr. Asmady Idris.
Sejak menyertai perkhidmatan awam Sabah pada tahun 1986, Jacqueline menerajui pelbagai inisiatif kebudayaan termasuk sebagai Pengarah Muzik dan Pegawai Penyelidik Budaya di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Sabah, serta Ketua Bahagian Penyelidikan Budaya Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
Sepanjang lebih dua dekad di UMS, beliau aktif dalam penyelidikan, penerbitan dan projek komuniti yang memperkukuh bidang ethnomusikologi dan warisan budaya Borneo di peringkat tempatan serta antarabangsa.
Menurut Jacqueline, pengiktirafan tersebut merupakan sebuah penghormatan yang besar dan membawa makna lebih mendalam baginya.
“Melihat senarai penerima terdahulu yang terdiri daripada tokoh-tokoh besar dalam bidang penyelidikan dan Sejarah borneo, saya tidak pernah bermimpi sama sekali untuk menerima anugerah yang begitu berprestij.
“Ini adalah sebuah penghormatan yang membawa makna luar biasa apabila mengambil kira sumbangan besar yang diberikan oleh penerima-penerima sebelum ini,” katanya.
Hadir sama dalam majlis adalah Timbalan Pengarah Borneo Institute For Indigenous Studies (BorIIs), Profesor Madya Dr. Jeannet Stephen dan Ketua Program Seni Muzik Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTIF) UMS, Dr. Jinky Jane C Simeon.
