KOTA KINABALU: Kesungguhan Menteri Pertanian, Perikanan dan Inpdustri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar mendokong pertanian berkualiti dan melindungi kepentingan petani tempatan wajar disokong oleh semua pihak, , kata Pengerusi kempen kesedaran awam Anti Pencemaran Sungai Sabah Gundohing Simon Molubi.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan perlu melihat satu realiti besar yang semakin membimbangkan iaitu isu bekalan air bersih dan selamat untuk pertanian makanan.
“Pertanian berkualiti tidak mungkin dapat dicapai jika petani terus bergantung kepada sumber air sungai yang terdedah kepada pencemaran, kumbahan, sisa ternakan dan bahan kimia tidak terkawal,” katanya dalam satu kenuataan di sini hari ini.
Menurutnya air merupakan “nyawa” kepada pertanian, dan jika-a sumber air tercemar, maka tanaman, tanah, hasil makanan dan kesihatan rakyat turut terancam.
“Sabah tidak boleh bercakap soal keterjaminan makanan, eksport hasil pertanian dan peningkatan pengeluaran jika masalah asas ini terus dipandang ringan.
“Lebih mengecewakan, dalam banyak keadaan petani terpaksa menanggung sendiri kerugian akibat pencemaran sungai, sedangkan pihak yang mencemarkan terus beroperasi dan mengaut keuntungan besa,” katanya.
Simon berkata keadaan itu tidak adil kepada petani yang berusaha menghasilkan makanan berkualiti untuk rakyat.
Dalam hal ini, beliau berkata kerajaan dan agensi berkaitan perlu mengambil tindakan lebih tegas dan agresif terhadap pencemaran sumber air pertanian.
“Pendekatan terlalu lembut dan sekadar notis amaran tidak lagi memadai. Hukuman yang ringan hanya menggalakkan kesalahan berulang.
“Sudah tiba masanya Sabah mempertimbangkan pelaksanaan Pensijilan Sumber Air Bersih dan Selamat Untuk Pertanian bagi melindungi petani dan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap hasil tempatan.
“Langkah ini juga mampu membantu petani mendapatkan pensijilan seperti MYGAP dan MyOrganic dengan lebih mudah.
Selain itu, Simon berkata pampasan dan gantirugi kepada petani yang terjejas akibat pencemaran wajar dijadikan sebahagian daripada hukuman terhadap pelaku pencemaran.
“Petani tidak boleh terus menjadi mangsa kepada kelemahan penguatkuasaan.
“Jika kerajaan benar-benar mahu mempertahankan masa depan pertanian Sabah, maka perlindungan sumber air mesti dijadikan agenda utama dan bukan sekadar isu sampingan,” katanya.
