Keluar PH bukan keputusan terburu-buru: Donald

PENAMPANG: Keputusan Datuk Ewon Benedick meletakkan jawatan sebagai Menteri Kabinet dan kemudian Upko keluar daripada Pakatan Harapan (PH) bukanlah satu tindakan tergesa-gesa.

Timbalan Presiden Upko Datuk Donald Mojuntin berkata, tindakan itu dibuat selepas perbincangan mendalam dengan semua ahli dan keputusan sebulat suara Majlis Tertinggi Upko. 

“Kedua-duanya lahir daripada prinsip perjuangan “Sabah First” dan pendirian teguh mempertahankan hak 40 peratus hasil Sabah serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Keputusan ini mencerminkan integriti, keberanian dan kejujuran politik. Ia adalah perjuangan demi maruah dan hak Sabah mesti didahulukan, walau apa pun risikonya,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan politik membabitkan Upko dan Presidennya, Datuk Ewon Benedick.

Dua hari yang lalu Ewon sah meletakkan jawatan sebagai Menteri Menteri Pembangunan Usahawan dan semalam beliau membawa parti Upko keluar daripada Pakatan Harapan. Tindakan itu mendapat pelbagai reaksi termasuk tuduhan bahawa beliau bertindak secara terburu-buru.

Menurut Donald hasil daripada keputusan itu kemungkinan besar ia akan memberi impak kepada proses pilihan raya umum negeri yang akan diadakan pada 29 November ini.

“Saya berdoa dan amat berharap perkembangan ini akan memberi impak besar kepada pilihan raya Sabah.

“Keputusan Datuk Ewon dan UPKO keluar daripada PH menunjukkan kebangkitan semangat “Sabah First” dan memperkukuh usaha penyatuan parti-parti tempatan Sabah. Ia membuka ruang baharu untuk politik berasaskan prinsip, bukan kepentingan pusat,” jelasnya.

Beliau tidak menafikan bahawa rakyat kini akan melihat UPKO sebagai parti yang berani, bebas dan benar-benar memperjuangkan hak Sabah, sekali gus meningkatkan keyakinan dan sokongan menjelang pilihan raya negeri nanti.

Ditanya sama ada ia akan mengubah persepsi pengundi terhadap UPKO di Penampang dan adakah tindakan itu akan menarik lebih banyak undi?

Katanya: “Ya, keputusan ini berpotensi mengubah persepsi dan menarik sokongan baharu kepada Upko i Moyog. Rakyat Moyog sudah lama mahukan kepimpinan yang berani, jujur dan konsisten mempertahankan hak Sabah.

“Tindakan Datuk Ewon dan keputusan sebulat suara Majlis Tertinggi UPKO menunjukkan bahawa perjuangan parti ini bukan sekadar retorik politik, tetapi berasaskan prinsip dan keberanian moral,” tambahnya.

Donald akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-17 kali ini sebagai calon Upko di Moyog. Beliau pernah menjadi wakil rakyat Moyod pada 2008 dan Ahli Parlimen Penampang pada 2004.

Katanya, apabila rakyat melihat seorang pemimpin sanggup melepaskan jawatan demi mempertahankan maruah negeri, mereka akan lebih menghormati dan mempercayai perjuangan UPKO.

Ini katanya, memberi mesej jelas bahawa Upko bukan parti ikut arus, tetapi parti yang mendahulukan Sabah di atas segala-galanya.

Ditanya mengenai persediaannya menghadapi pilihan raya sebagai calon Upko, Donald mendedahkan bahawa beliau sudah dua tahun membuat persiapan.

Sepanjang tempoh itu katanya, beliau turun ke akar umbi, menggerak dan menghidupkan semula cawangan-cawangan Upko yang tidak aktif, serta menubuhkan cawangan baharu bagi memperkukuh jentera parti.

“Saya juga aktif berinteraksi dengan generasi muda, mendengar pandangan mereka dan melibatkan serta menggalakkan mereka Bersama-sama dalam aktiviti serta kepimpinan di peringkat komuniti.

“Dalam tempoh ini juga, saya terus mengadakan program penerangan, menyantuni rakyat Moyog dan menyalurkan khidmat kepada mereka dengan apa jua kapasiti yang ada.

“Bagi saya, persiapan terbaik bukan sekadar menjelang pilihan raya, tetapi melalui kehadiran berterusan bersama rakyat dengan memahami keperluan mereka, membina kepercayaan, dan menggerakkan tenaga baharu terutama dari kalangan anak muda Moyog,” ujarnya.

Mengenai keputusannya untuk bertanding semula, kata anak kepada bekas pemimpin Kadazan yang disanjung tinggi ini: “Saya kembali bertanding kerana saya percaya inilah masa untuk saya menyumbang lebih banyak kepada rakyat Moyog.”

Beliau menekankan bahawa hasrat itu bukannya keputusan mendadak tetapi  membuat banyak perbincangan dengan Presiden Ewon lebih dua tahun yang lalu.

Katanya, Ewon bekerja keras sebagai Ahli Parlimen Penampang dan m ahu melengkapkan serta mengukuhkan usahanya di Moyog.

Dalam keadaan di mana Penampang mempunyai banyak masalah seperti masalah banjir, Donald yakin dapat membawa rancangan teratur untuk membangunkan Moyog secara mampan supaya setiap kampung dan komuniti menikmati kemajuan seimbang.

Beliau mahu menjadi wakil rakyat yang benar-benar berorientasikan khidmat, sentiasa dekat dengan rakyat dan memahami denyut nadi mereka.

“Pendek kata, saya kembali bukan sekadar untuk bertanding, tetapi untuk menyambung perjuangan, memperkukuh sinergi bersama Datuk Ewon dan memastikan Moyog terus maju dengan hala tuju yang jelas dan berterusan,” jelasnya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles