Oleh Angie S Chin, Lead – Vote Wisely Project /SVP CAMOS (Change Advocate Movement Sabah)
KOTA KINABALU: Apabila diam itu terasa seperti cubaan menyekat hak rakyat Sabah.
Tahun demi tahun, setiap kali pilihan raya menjelang, rakyat Sabah yang bekerja dan belajar di LUAR NEGERI bertanya soalan yang sama: Mengapa kami masih lagi dinafikan hak untuk mengundi melalui pos?
Lebih 200,000 rakyat Sabah kini berada di Semenanjung Malaysia dan Sarawak — ada yang bekerja sebagai guru, jururawat, pengawal keselamatan, pekerja kilang — mereka yang meninggalkan kampung bukan kerana mahu, tetapi kerana perlu mencari rezeki.
Ini belum termasuk pelajar-pelajar dan anak-anak muda 18 tahun keatas yang masih belajar.
Namun setiap kali tiba waktu pilihan raya, mereka disuruh “balik kalau betul-betul sayangkan Sabah.”
Seolah-olah cinta kepada negeri ini boleh diukur dengan tambang kapal terbang RM299 sehala (seperti satu hantaran tular di TikTok Vote.Sabah yang sudah ditonton lebih 90,000 kali dalam masa beberapa hari sahaja).
Seolah-olah demokrasi hanyalah untuk mereka yang mampu membayarnya.
Ini bukan soal malas mengundi. Ini soal penafian sistematik terhadap hak rakyat.
Bertahun-tahun, petisyen demi petisyen diserahkan. Artikel demi artikel diterbitkan. NGO, pelajar, malah media sudah berulang kali mendesak.
Namun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih juga diam membisu. Tetap dengan pendirian, “jika mahu lunaskan tanggungjawab mengundi, kamu kena juga balik Sabah”.
Diam ini yang kini terasa seperti disengajakan. Diam yang menghina semangat demokrasi itu sendiri.
Tugas SPR bukan memilih siapa yang boleh mengundi, tetapi memastikan setiap rakyat Malaysia boleh mengundi.
Namun apabila melibatkan Sabah dan Sarawak, jurangnya jelas.
Kalau pelajar dan pekerja di UK, Australia atau Singapura boleh mengundi melalui pos, kenapa rakyat Sabah di Kuala Lumpur tidak boleh?
Kalau sistem atas talian boleh digunakan untuk berjuta pendaftaran pengundi, kenapa undi pos domestik masih dianggap mustahil?
Ini bukan lagi isu teknikal — ini isu moral dan keadilan.
Jadi, apa yang rakyat Sabah boleh lakukan sekarang?
1. Terukan bersuara.
Jangan biarkan isu ini tenggelam selepas satu hantaran tular. Teruskan berkongsi, tag, dan suarakan. Jadikan “UndiPosSabah” satu perbualan nasional.
2. Bersatu tanpa mengira parti.
Ini bukan isu parti. Ini isu hak. Badan pelajar, NGO, media dan aktivis harus bersatu menuntut ketelusan dan reformasi.
3. Tekan pihak berkuasa.
Tag dan desak terus @anwaribrahim, @sprgovmy, dan kementerian berkaitan. Perdana Menteri dan SPR mesti tahu bahawa rakyat Sabah tidak akan berdiam diri lagi.
4. Desak tindakan di Parlimen.
Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak wajib membawa isu ini ke Dewan Rakyat. Jika mereka juga diam, kita tahu siapa yang benar-benar bersama rakyat, dan siapa hanya muncul waktu mahu undi.
Apa implikasinya jika SPR terus diam?
Jika SPR terus berdiam diri, sejarah akan mencatatnya bukan sekadar kecuaian birokrasi — tetapi sebagai penafian hak rakyat secara sistematik.
Ratusan ribu rakyat Sabah akan sekali lagi terputus daripada hak menentukan masa depan negeri mereka.
Dan kerajaan yang bakal terbentuk mungkin bukan cerminan kehendak rakyat, tetapi hanya keputusan mereka yang mampu pulang mengundi. Adakah itu demokrasi?
Setiap kali pilihan raya, slogan berbunyi “Undi Anda Penting.”
Tetapi apabila sistem sendiri menghalang rakyat daripada mengundi, maksud sebenarnya ialah: “Undi anda penting — hanya jika ianya mudah untuk kami.”
Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 bukan sekadar tentang memilih pemimpin — ia tentang menuntut semula hak untuk memilih.
Kita tidak boleh biarkan lagi ribuan anak muda Sabah menangis kerana mahu mengundi, tapi tidak mampu.
Kita tidak boleh biarkan diam kita memberi alasan kepada diam SPR.
Rakyat Sabah sudah menunggu terlalu lama. Kita bukan orang luar. Kita warganegara yang berhak bersuara dan berhak mengundi.
Bangkitlah bersama. Ingatkan SPR dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa demokrasi yang ditangguh adalah demokrasi yang dinafikan. Dan jika mereka masih enggan mendengar — kita akan ingat itu juga, bila tiba waktunya mengundi.
Kerana suara rakyat boleh disenyapkan, tetapi kehendak rakyat tidak boleh dipadamkan.
