Oleh Angie S Chin,
Pengasas & Ketua Projek Vote Wisely (Sabah)
KOTA KINABALU: Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, sudah tiba masa kita berani hadap satu kebenaran yang lama kita pandang ringan:
Ancaman paling besar terhadap masa depan Sabah bukanlah rasuah, bukan kemiskinan, dan bukan juga campur tangan luar — tapi PERPECAHAN.
Dinding halimunan ini lah yang memisahkan kita mengikut kaum, agama, dan parti politik — sampai kita hilang kekuatan untuk bentuk halatuju sendiri. Selama berdekad, perpecahan politik jadi krisis senyap kita — yang tidak pernah betul-betul sembuh walaupun kerajaan sudah bertukar banyak kali.
Parti datang dan pergi. Pemimpin naik dan jatuh. Janji ditabur, tapi dilupai.
Dan dalam semua ni, rakyat biasa tetap terperangkap dalam perjuangan yang sama — bukan sebab orang Sabah tidak pandai atau tidak berani, tapi sebab kita terlalu berpecah untuk maju bersama.
Perpecahan Dan Keharmonian Yang Kita Sudah Lupa
Bila Umno masuk Sabah pada awal tahun 1990-an, bukan saja politik kita yang berubah — tapi juga corak sosial masyarakat kita.
Politik gaya Semenanjung yang berasaskan kaum dan kesetiaan mula mengubah satu negeri yang dahulunya terkenal dengan keharmonian dan keterbukaan.
Orang Sabah yang dahulunya hidup sebagai satu komuniti mula nampak satu sama lain sebagai “kami” dan “mereka.”
Tangan-tangan ghaib dengan kepentingan sendiri makin dalam membelah kita, mencipta naratif yang menguntungkan kuasa — bukan kemajuan.
Dalam komuniti KDMR (Kadazan-Dusun-Murut-Rungus) juga, memang wujud rasa semula jadi sebagai penjaga “sejati” negeri Sabah. Dan dalam kita terlalu berpegang kuat kepercayaan itu, kita lupa dengan saudara-saudara kita yang berada di Pantai Timur — Bajau, Suluk, Bugis, dan ramai lagi — yang turut sama bina Sabah dengan peluh dan semangat mereka.
Pandangan ini mesti berubah. Sabah bukan dibina oleh satu kaum atau satu agama sahaja— tapi oleh kita semua.
Kalau kita mahu bangkit dalam zaman teknologi, AI dan perubahan global, cara kita berfikir pun mesti berubah. Tiada kemajuan kalau masih terikat dengan perpecahan.
Harga Sebuah Perpecahan
Sabah tidak pernah kekurangan pemimpin yang hebat — cuma kekurangan perpaduan diantara mereka.
Sementara Sarawak teguh dengan semangat “Sarawak First”, kita di Sabah masih kabur apa maksud sebenar “Sabah First.”
Setiap kali kerajaan baru naik, semangat harapan datang — tapi setiap kali tumbang, kepercayaan rakyat makin hilang.
Ego politik, kepentingan jangka pendek, dan budaya lompat parti mencuri peluang kita untuk terus berkembang.
Perpecahan mencipta ketidaksamaan — dan ketidaksamaan pula suburkan perpecahan.
Bila pembangunan jadi ganjaran politik, bukannya hak asas rakyat — perpaduan jadi korban utama.
Ketidaksamaan & Kepercayaan Yang Hilang
Jurang perpecahan ini semakin besar bila ketidaksamaan dibiarkan.
Pantai Barat terus berkembang, tapi Pantai Timur dan pedalaman masih banyak tertinggal.
Keadaan ini mencipta rasa ketidak puasan hati yang senyap — dan senang dimanipulasi oleh ahli politik yang menggunakan pembangunan sebagai umpan.
Bila kemajuan asas dijadikan mata wang politik, perpaduan jadi “kemusnahan kolateral”.
Suara Rakyat Yang Hilang
Masyarakat Sabah — NGO, media bebas, gerakan rakyat — masih lagi rapuh. Tanpa suara bersama, naratif awam kita mudah dibentuk ikut kepentingan parti.
Kita lupa bahawa kitalah jiwa sebenar Sabah — bukan ahli politik, bukan parti.
Bila suara rakyat hilang, arah kita pun hilang.
Belajar Dari Sarawak
Sarawak sudah membuktikan bahawa perpaduan itu pasti walaupun dalam kepelbagaian bangsa, kaum dan agama.
Walaupun ada berpuluh suku, dialek, dan agama, rakyat Sarawak tidakmelihat satu sama lain sebagai pesaing — tapi sebagai keluarga besar.
Kekuatan mereka bukan datang dari saiz atau kekayaan, tapi dari rasa hormat, kebanggaan bersama, dan kefahaman bahawa kejayaan Sarawak milik semua — bukan hanya segelintir.
Inilah yang membezakan Sarawak dengan Sabah.
Dan inilah yang Sabah masih belum miliki.
Kita terlalu kerap membiarkan sentimen kaum, agama, dan politik pisahkan kita.
Kita cakap pasal perpaduan, tapi bertindak ikut kelompok — ikut parti, ikut daerah, ikut luka lama yang dah tak patut dibawa.
Rakyat Sarawak bergerak seiring sebab mereka percaya pada rumah mereka dulu — sebelum politik, sebelum kepentingan diri.
Mereka berpegang kuat pada semangat “Sarawak First” — kesatuan hati yang menyatukan rakyat mereka yang berbilang kaum dan ini memberikan kestabilan kepada pemimpin untuk merancang jauh ke depan.
Sabah pula, masih lagi mencari-cari erti sebenar “Sabah First.”
Kita kaya dengan bakat dan jiwa, tapi miskin dengan kepercayaan dan kesatuan.
Kita masih berlumba-lumba untuk pengiktirafan, bukan kekuatan bersama.
Kalau perpaduan Sarawak jadi perisainya, maka perpecahan Sabah jadi kelemahannya.
Kalau kita tidak membangunkan semula semangat perpaduan ini — untuk melihat satu sama lain bukan sebagai lawan, tapi rakan seperjuangan — kita akan terus mengulangi kitaran politik dan sosial yang sama.
Sarawak mengajar kita, kemajuan bukan soal nasib atau parti — tapi soal cara kita berfikir.
Pilih harmoni daripada ego, pilih komuniti daripada kekecohan.
Sudah tiba masanya Sabah renungkan hakikat ni, dan kenang balik apa yang kita pernah ada suatu masa dulu — semangat kebersamaan yang menjadikan kita kebanggaan Borneo.
Sabah Mesti Diutamakan
Perpaduan tidak boleh dibina dengan slogan atau kempen politik — ia mesti datang dari hati rakyat sendiri.
Orang Sabah mesti ambil balik naratif kita melalui cerita tempatan, inisiatif komuniti, dan pendidikan yang mengajar sejarah sebenar kita.
Kita mesti meyokong platform yang melangkaui politik, yang meraikan budaya, kreativiti, dan ketahanan rakyat Sabah.
Dan yang paling penting — kita mesti berani cabar kepercayaan lama yang memecah-belahkan kita, walaupun datang dari komuniti sendiri.
Prinsip kita mesti ringkas tapi kuat: Sabah Mesti DiUtamakan.
Bila kita kembali bersatu — sebagai satu rakyat, satu Sabah — barulah kita cukup kuat untuk bentuk masa depan yang kita layak dapat.
Demi Sabah esok, mari kita bina semula apa yang kita hilang — bersama.
Biarlah perpaduan menjadi perjuangan terbesar kita, dan juga kemenangan yang paling indah untuk kita.
