KOTA KINABALU: Pelaksanaan penyaluran subsidi bahan api diesel bagi sektor pengangkutan darat barangan melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) akan diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.
Menteri Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, fasa awal peluasan ini akan melibatkan permohonan pendaftaran menyertai SKDS bagi syarikat-syarikat sektor pengangkutan darat barangan di ketiga-tiga wilayah bermula 4 Mei 2026.
Katanya, kenderaan-kenderaan yang didaftarkan di bawah SKDS oleh syarikatsyarikat pengangkutan darat barangan yang berkelayakan boleh memanfaatkan subsidi diesel tertakluk kepada kadar yang ditetapkan oleh Kerajaan.
“Kadar harga subsidi semasa bagi SKDS sektor pengangkutan darat barangan adalah RM2.15 seliter.
“Permohonan untuk mendapatkan manfaat subsidi diesel bagi sektor pengangkutan ini boleh dibuat melalui portal MySubsidi di pautan mysubsidi.kpdn.gov.my bermula 4 Mei 2026, jam 9.00 pagi,” katanya.
Syarat-syarat kelayakan pendaftaran SKDS bagi kenderaan pengangkutan darat barangan mesti mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah dan aktif.
Berdaftar sebagai kenderaan perdagangan dengan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah atau Sarawak.
Syarikat/Perniagaan/Koperasi/Perdagangan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan tersenarai dalam 23 kategori kenderaan darat barangan yang diluluskan di bawah SKDS.
Bagi memastikan proses pendaftaran berjalan lancar, semua syarikat/entiti perniagaan yang berkelayakan dimohon menyemak kelayakan kenderaan serta syarat-syarat permohonan yang ditetapkan, termasuk membuat pemilihan kategori pendaftaran yang tepat iaitu kategori syarikat bagi kenderaan perdagangan yang berdaftar di bawah SSM, kategori Koperasi/PBT bagi kenderaan perdagangan yang berdaftar di bawah SKM atau PBT dan Kategori Pemilikan Tunggal bagi kenderaan perdagangan yang berdaftar di bawah nombor MyKad Individu dan berdaftar dengan LPKP Sabah atau Sarawak.
Armizan berkata, pembelian diesel bersubsidi bagi sektor pengangkutan darat barangan akan dilaksanakan menggunakan kaedah fleet card.
Katanya, bagi syarikat pengangkutan darat barangan yang telah diluluskan di bawah SKDS, permohonan fleet card perlu dibuat kepada syarikat minyak pilihan dengan mengemukakan surat kelulusan berserta senarai kenderaan yang boleh dicetak melalui sistem SKDS.
Syarikat dibenarkan untuk memilih sehingga maksimum tiga syarikat minyak untuk mengemukakan permohonan fleet card daripada pilihan berikut:
PETRONAS Talian: 1-300-88-8282 Pautan: https://www.mymesra.com.my/for-business/smartpay Shell Talian: 1-300-22-8181 Pautan : https://www.shell.com.my/business-customers/shell-fuel- card/apply-for-shell-fuel-card.html Petron Talian : 1-800-88-8298 Pautan : https://www.petronfleetcard.com.my/
Armizan berkata, Tempoh pemprosesan dan penghantaran fleet card dianggarkan antara dua hingga tiga minggu bergantung kepada proses dalaman syarikat minyak pilihan masing-masing.
Pada masa yang sama, katanya, tempoh sah laku surat kelulusan SKDS adalah bergantung kepada tempoh sah laku LKM atau cukai jalan kenderaan.
Sehubungan itu, katanya LKM atau cukai jalan kenderaan hendaklah dikemas kini sebelum 28 hari bulan setiap bulan dan tarikh tamat LKM tersebut perlu melangkaui bulan berikutnya bagi memastikan pemohon layak mendapat subsidi bulan berikutnya.
Sebarang pertanyaan berkaitan SKDS boleh diajukan ke Pusat Panggilan yang tersedia antara hari Isnin hingga Jumaat, 9.00 pagi hingga 5.00 petang atau boleh menghubungi Pusat Panggilan Negeri menerusi talian Pusat Panggilan KPDN W.P. Putrajaya: 03-8882 5893/ 5894/ 5923/ 6667/ 6331/6557, Pusat Panggilan KPDN Sabah: 088-484553/ 088-484368, Pusat Panggilan KPDN Sarawak: 082-537700/ 082-537713 atau Pusat Panggilan KPDN W. P. Labuan: 087-423152/ 087-423209 Portal MySubsidi (https://mysubsidi.kpdn.gov.my)
Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyeru syarikat/entiti perniagaan sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang layak untuk memohon kemudahan subsidi di bawah SKDS.
“Kerajaan kekal komited memastikan dasar penyasaran subsidi dilaksanakan secara seimbang, inklusif dan berkesan demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi negara,” kata Armizan.
