Peranan PIBG perlu diperkasa bagi bendung gejala sosial pelajar – Salleh

KOTA BELUD: Penasihat Yayasan Kasih Suria, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, menggesa agar peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) diperkasa bagi membantu pihak sekolah menangani peningkatan gejala sosial dalam kalangan pelajar, termasuk kes rogol, buli, ponteng dan keciciran sekolah.

Berucap merasmikan Majlis Apresiasi PIBG Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud Kali Ke-2 Sesi 2024/2025 di The Bay Edge, Kuala Abai, dekat sini, Salleh berkata gejala sosial tidak boleh dipandang ringan kerana ia mencerminkan cabaran moral dan disiplin pelajar di peringkat akar umbi.

Beliau menegaskan bahawa ibu bapa perlu menjadi benteng utama dalam membentuk nilai dan sahsiah anak-anak.

“Murid hanya berada di sekolah selama tujuh jam sehari. Selebihnya mereka bersama keluarga dan komuniti. Maka ibu bapa mesti berperanan membentuk disiplin dan adab agar anak-anak tidak terjebak dengan gejala negatif,” katanya.

Salleh berkata PIBG bukan sekadar badan sokongan kepada sekolah, sebaliknya rakan strategik penting dalam membina persekitaran pendidikan yang selamat dan progresif.

Katanya, hubungan erat antara guru, ibu bapa dan komuniti adalah asas utama dalam melahirkan pelajar berilmu, berdisiplin dan berakhlak mulia.

Majlis tersebut turut menyampaikan 20 kategori anugerah PIBG kepada sekolah dan individu yang menunjukkan kecemerlangan dalam penglibatan komuniti serta pembangunan pelajar.

Turut hadir Puan Hasrina Wati Datuk Golkhan, yang memainkan peranan penting dalam penyelarasan program berkenaan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles