Gambar: YB Datuk Dr Maijol Mahap bergambar bersama Puan Meirin Sugara Pegawai Daerah dan kakitangan pejabat daerah.
KOTA MARUDU: Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Maijol Mahap, menyeru semua pihak supaya bekerjasama menjaga kebersihan pekan Kota Marudu demi mewujudkan persekitaran yang selesa dan menarik untuk penduduk serta pengunjung.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau berkata, usaha menjaga kebersihan bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa tempatan, sebaliknya memerlukan komitmen bersama masyarakat, agensi kerajaan dan sektor swasta.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Landskap Halaman Pejabat sempena Sambutan Bulan Kebangsaan anjuran Majlis Daerah Kota Marudu, di sini, hari ini.
Menurut Maijol, beliau menyambut baik anjuran pertandingan seumpama itu kerana ia dapat menambah keceriaan pejabat kerajaan di daerah ini, selain memupuk budaya menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran tempat kerja.
“Pertandingan seperti ini wajar diteruskan kerana ia bukan sahaja menggalakkan semangat berlumba-lumba dalam kalangan jabatan, malah memberi imej yang lebih baik kepada Kota Marudu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu pengurusan sisa pepejal yang disifatkan sebagai antara cabaran utama dalam memastikan kebersihan pekan terus terpelihara. Beliau menggesa orang ramai agar lebih bertanggungjawab dengan membuang sampah di tempat yang ditetapkan serta mengamalkan pengasingan sisa bagi memudahkan pengurusan.
Maijol turut memaklumkan bahawa pihak kementerian akan sentiasa memberi sokongan kepada Majlis Daerah Kota Marudu bagi memastikan semua program dan inisiatif dapat dilaksanakan dengan lancar.
Pada majlis itu, Pejabat Daerah muncul johan pertandingan, manakala tempat kedua dimenangi Jabatan Penerangan dan Jabatan Pertanian di tempat ketiga.
Hadiah saguhati pula disampaikan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Mahkamah Anak Negeri. Selain itu, Anugerah Khas Like Facebook Terbanyak turut dimenangi JKR.