Armizan -Skim harga maksimum Deepavali 2025 pastikan keseimbangan untuk pengguna dan peniaga

KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalit am Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, menegaskan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 bertujuan mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga, selaras dengan usaha kerajaan memastikan kestabilan harga barangan keperluan menjelang musim perayaan.

Beliau berkata, skim yang berkuat kuasa selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Oktober 2025 itu akan mengawal harga sembilan jenis barangan, termasuk daging kambing import, tomato, cili merah, bawang merah kecil India (termasuk varieti Ros), bawang merah besar import, kacang dal Australia, kelapa biji dan kelapa parut.

“Langkah ini adalah kesinambungan kepada pelaksanaan SHMMP tahun sebelumnya dengan tambahan satu jenis barang kawalan baharu iaitu bawang merah kecil India.
Kerajaan mahu memastikan pengguna dapat menikmati harga berpatutan tanpa membebankan peniaga,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Datuk Armizan menambah, tempoh pelaksanaan skim selama tujuh hari itu meliputi empat hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan dua hari selepasnya. Tempoh berkenaan ditetapkan berdasarkan pertimbangan keadaan semasa seperti kos, permintaan dan penawaran, cuaca serta kadar upah.

Beliau menjelaskan, penentuan harga maksimum turut mengambil kira pandangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan dan pemain industri bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim.

“Pegawai Penguat Kuasa KPDN akan digerakkan ke seluruh negara di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan skim ini. Pendekatan penguatkuasaan pula dilakukan secara berhemah dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran kepada peniaga,” katanya.

Dalam masa sama, Datuk Armizan turut mengingatkan peniaga supaya meletakkan label merah jambu bagi barangan yang dikawal di bawah SHMMP.
Beliau menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, termasuk denda maksimum sehingga RM500,000 bagi syarikat dan RM100,000 bagi individu.

Selain pelaksanaan SHMMP, KPDN turut memperkenalkan beberapa inisiatif sempena Deepavali 2025 termasuk Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) dan Program Servis Ihsan MADANI @ Petronas AutoExpert (SIM@PAX) bagi membantu rakyat mengurus kos sara hidup.

Datuk Armizan turut menegaskan, pelaksanaan Belanjawan 2026 akan terus memperkukuh agenda reformasi subsidi bersasar di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Menurut beliau, penambahbaikan melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan memastikan bantuan kerajaan sampai terus kepada golongan sasar termasuk B40, M40 rendah, warga emas dan bujang.

“Mulai Januari 2026, semua penerima STR akan turut menerima SARA bulanan sebanyak RM100 sebulan atau RM1,200 setahun.
Bagi penerima di bawah program e-Kasih, kadar SARA ditingkatkan kepada RM200 sebulan atau RM2,400 setahun, manakala penerima kategori bujang akan menerima RM50 sebulan,” katanya.

Datuk Armizan turut menyeru orang ramai menyalurkan sebarang aduan berkaitan harga dan bekalan barangan melalui WhatsApp KPDN (019-848 8000), talian 1-800-886-800, e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi mudah alih Ez ADU KPDN.

“Kerajaan komited untuk terus memastikan kesejahteraan rakyat dengan mengimbangi kepentingan pengguna dan peniaga, di samping meneruskan agenda MADANI untuk negara yang lebih makmur dan berdaya tahan,” jelasnya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles