KOTA MARUDU: Timbalan Presiden
Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Wetrom Bahanda, mempertaruhkan kerjaya politiknya dengan bertanding di kubu kuat PBS, anggota GRS, di DUN Matunggong dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
ADUN Bandau itu mengesahkan hasratnya untuk bertanding di DUN Matunggong – kampung halamannya yang majoriti pengundi suku kaum Rungus.
“Keputusan saya bertanding di Matunggong adalah atas permintaan rakyat di kawasan tersebut,” katanya.
Wetrom berkata demikian selepas majlis pelancaran jentera PRN KDM bagi DUN Matunggong, Bandau, dan Tandek pada Sabtu.
Wetrom turut mengakui bahawa ia bukan tugas yang mudah, tetapi yakin rakyat Matunggong inginkan perubahan, seperti yang ditunjukkan oleh pengundi parlimen Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sebelum ini, Wetrom meraih kemenangan selesa di DUN Bandau dalam pilihan raya negeri ke-16 sebelum melakukan kejutan menewaskan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) ketika itu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili di kerusi Parlimen Kota Marudu pada PRU ke-15.
DUN Matunggong kini diwakili Datuk Julita Majungki di Dewan Undangan Negeri Sabah.