Kesamarataan menuntut MA63 dihormati

Oleh Datuk Nelson W Angang
Ahli Dewan Negara

KOTA KINABALU: Saya telah membaca kenyataan dan pandangan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia Wan Ahmad Wan Omar dengan penuh kebimbangan di mana beliau berkata peruntukan kerusi parlimen tidak sepatutnya berdasarkan MA63.

Asas bahawa negara yang kita panggil Malaysia ini wujud adalah kerana MA63. Adakah Wan Ahmad faham bahawa MA63 juga merangkumi laporan Suruhanjaya Cobbold dan Laporan jawatankuasa Antara Kerajaan (Laporan IGC)? Dalam laporan ini telah mendokumentasikan aspirasi dan kebimbangan rakyat Sabah (Borneo Utara) dan Sarawak bahawa hak dan keistimewaan Sabah dan Sarawak boleh diambil melalui pindaan perlembagaan Persekutuan dengan kelebihan 2/3 parlimen kepada Tanah Melayu ketika itu.

Apabila MA63 ditandatangani dan persempadan pilihan raya untuk Persekutuan Malaysia diwujudkan, sudah pun diakui bahawa penduduk Sabah dan Sarawak jauh lebih kecil daripada Tanah Melayu pada ketika itu.

Namun, ini bukan satu-satunya kriteria tetapi saiz wilayah dan potensi Sabah dan Sarawak turut dipertimbangkan ketika itu. Terdapat juga kesedaran tentang keperluan untuk mewujudkan perlindungan supaya hak dan keistimewaan Sabah dan Sarawak dalam perlembagaan persekutuan dilindungi dengan memastikan tiada satu wilayah pun akan mempunyai kelebihan 2/3 parlimen yang boleh digunakan untuk meminda perlembagaan tanpa persetujuan yang lain. Semua ini adalah sebab mengapa peruntukan kerusi parlimen dibuat sedemikian apabila Malaysia dibentuk dengan Singapura menjadi sebahagian daripada formula tersebut pada ketika itu.

Perlembagaan kita telah dipinda pada tahun 1965 berkaitan dengan bilangan kerusi Paliamen bagi Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu apabila Singapura meninggalkan Malaysia. Akibatnya bilangan kerusi parlimen yang dahulunya milik Singapura diberikan kepada Tanah Melayu tanpa mengambil kira hasrat dan niat asal mengapa ia diagihkan sedemikian pada mulanya ketika Malaysia ditubuhkan.

Semua yang wujud sebagai Malaysia hari ini adalah kerana MA63. Kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas timbalan pengerusi SPR sebegitu adalah sebab mengapa perlunya mewujudkan lebih kesedaran tentang sejarah pembentukan Malaysia dan kepentingan MA63.

Ianya juga amat membimbangkan apabila membaca pandangan sedemikian daripada seorang bekas pegawai kanan kerajaan. Mungkin perlu ada lebih banyak usaha sekarang untuk mewujudkan kesedaran dan persefahaman yang lebih besar di kalangan penjawat awam persekutuan terutamanya mereka yang mempunyai tugas dan tanggungjawab menasihati kerajaan dalam mewujudkan dasar dan wawasan yang terbaik untuk Malaysia.

Perlu diketengahkan bahawa jawatan yang pernah diduduki oleh bekas pengerusi SPR sebelum ini, wujud apabila negara kita tercipta hasil daripada Perjanjian Malaysia 1963. Kuasa dan fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya itu sendiri diperoleh daripada Perlembagaan Persekutuan, sebuah perlembagaan yang pada 1963 menjadi undang-undang tertinggi negara baharu berdasarkan MA63.

Bekas Timbalan Pengerusi SPR memberi justifikasi bahawa bilangan pemilih mesti ‘lebih kurang sama’ untuk pemilih baharu diwujudkan juga bercanggah dengan realiti semasa mengenai bilangan pemilih di kawasan parlimen Malaysia.

Bagaimanakah takrifan sedemikian terpakai di kerusi Parlimen Banggi di mana terdapat 311,499 pengundi pada 2023 berbanding kerusi Parlimen Lenggong dengan hanya 36,950 pengundi atau di Pandang Rengas dengan 38,686 pengundi pada tahun yang sama. Saya tidak dapat melihat ini sebagai ‘kira-kira sama’ dalam mana-mana definisi.

Terdapat banyak lagi kerusi parlimen yang sangat tidak seimbang dengan bilangan elektrorat pada masa ini di seluruh Malaysia. Jadi sebelum kita diberitahu bahawa keadilan mesti dipertimbangkan berdasarkan populasi dan bilangan pengundi di kawasan parlimen tertentu yang lebih kurang sama antara satu sama lain, anda mesti terlebih dahulu menangani ketidakseimbangan semasa yang masih wujud hari ini.

Saya amat berharap ini hanyalah pandangan peribadi bekas timbalan pengerusi SPR dan bukannya pandangan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya yang diamanahkan dengan tanggungjawab oleh Jawatankuasa Teknikal MA63 untuk memberikan laporan dan syor atas tuntutan Sabah dan Sarawak supaya menghormati hasrat dan niat asal formula 1/3 pembahagian kerusi parlimen semasa Malaysia ditubuhkan pada 1963.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles