KOTA KINABALU: Cubaan Menteri Kewangan Sabah Datuk Masidi Manjun menggambarkan bayaran semula bon negeri bernilai RM1 bilion pada 2019 sebagai sesuatu yang “automatik” adalah satu putar belit yang terdesak, kata ADUN Merotai Sarifuddin Hata.
Beliau berkata apabila Warisan mengambil alih pentadbiran pada 2018 hanya setahun sebelum bon matang, Dana Pembayaran Bon tersebut hanya mempunyai sekitar RM400 juta.
“Mengikut rancangan mereka sendiri yang kononnya memperuntukkan RM200 juta setahun, sepatutnya sekurang-kurangnya RM800 juta sudah terkumpul ketika itu.
“Bagaimanapun, jurang RM600 juta ini adalah akibat kelemahan disiplin fiskal sebelum Warisan membentuk kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sarifuddin yang juga bekas pembantu menteri kewangan berkata “Rekod” yang disebut oleh Menteri dalam kenyataannya adalah rekod yang dipilih secara terpilih (cherry-picked).
“Ya, jumlah tersebut memang pernah dibentangkan dalam belanjawan tetapi dibentang tidak bermakna ia benar-benar diperuntuk dan dimasukkan ke dalam dana.
“Bukti jelas ada pada baki sebenar dana pada tahun 2018 yang jauh lebih rendah daripada jumlah yang diperlukan. Angka ini termaktub dalam rekod yang tidak didedahkan kepada umum tetapi diketahui pihak berwajib,” katanya.
Beliau berkata Disiplin kewangan Warisan pada 2018–2019 yang menutup jurang ini telah memastikan Sabah tidak gagal membayar hutang.
“Jika bayaran itu memang telah “dijamin sepenuhnya” seperti dakwaan Menteri, mengapa pula perlu ada usaha tergesa-gesa untuk menambah dana tersebut ketika Warisan memerintah? katanya.
Sarifuddin berkata Warisan hanya mempunyai tempoh kurang daripada 12 bulan untuk meningkatkan dana tersebut daripada RM400 juta kepada RM1 bilion di samping menampung faedah yang menjadikan jumlah bayaran melebihi RM1 bilion.
“Kami melaksanakannya tanpa membuat hutang baharu, tanpa memotong program pembangunan penting dan tanpa membebankan rakyat.
” Ini bukan “urusan rutin” tetapi satu usaha untuk menyelamatkan kewangan dan mempertahankan penarafan kredit serta kredibiliti Sabah.
“Satu lagi fakta mesti diperjelaskan iaitu kerajaan Warisan melaksanakan cukai jualan ke atas produk petroleum pada April 2020, malah ia telah diwartakan di bawah pentadbiran kami.
“GRS hanya dapat menuntut hasil tersebut kerana bayaran pertama diterima selepas mereka mengambil alih kerajaan,” katanya.
Menurutnya dasar, kerja asas dan kerangka undang-undang sepenuhnya adalah usaha Warisan dan bukan GRS.
“Saya tetap bertegas menuntut ketelusan tentang ke mana hasil bon itu dibelanjakan.
“Jika Menteri yakin setiap sen dibelanjakan di Sabah, maka dedahkan senarai penuh projek, lokasi, kontraktor dan penerima manfaat.
“Selagi perkara ini tidak didedahkan, cakap tentang “akauntabiliti penuh” hanyalah omong kosong,” katanya.
Sarifuddin berkata audit bebas merupakan satu-satunya cara untuk menamatkan spekulasi dan rakyat berhak tahu.
“GRS kerap mengelak atau berdolak-dalik daripada menjawab soalan di Dewan Undangan Negeri, khususnya berkaitan dana awam.
“Daripada menjawab terus, mereka berselindung di sebalik frasa seperti “kami akan mengkaji perkara ini” atau “jawapan bertulis akan diberikan”.
“Menteri telah beberapa kali menyebut di Dewan Undangan Negeri bahawa beliau menjemput untuk berbincang di pejabat.
“Namun, mengapa tidak dibincangkan sahaja di Dewan Undangan Negeri memandangkan ia melibatkan dana kepentingan awam dan sepatutnya dibincang secara telus?,” katanya.
Sehubungan itu, Sarifuddin mencabar Menteri dan Kerajaan GRS untuk membahas isu itu secara terbuka di dewan yang mulia, bersemuka tanpa berselindung di sebalik kenyataan media yang disusun rapi.
“Jka benar anda yakin dengan fakta, tidak ada sebab untuk takut berdebat di dalam Dewan,” katanya.
