KOTA KINABALU: Suara atau kuasa rakyat bakal menjadi penentu siapa yang akan menerajui negeri ini selepas pilihan raya Sabah (PRN) yang datang.
Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ini selaras dengan amalan demokrasi di mana rakyat boleh memberi atau menarik balik mandat.
Beliau berkata ungkapan “Master is here and not there” memperjelaskan bahawa kuasa sebenar berada di tangan rakyat, bukan parti, pemimpin atau pihak luar.
“Parti boleh naik dan jatuh, tetapi rakyat tetap kekal. Rakyat adalah satu-satunya yang konsisten.
“Sejarah membuktikan tiada parti yang kekal selamanya. Banyak parti kuat dahulu kini sudah terbubar atau hilang pengaruh,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.
Menurut Salleh yang juga Adun Usukan, pengundi hari ini terutama Undi18 lebih berani dan kritikal.
“Mereka tidak ikut secara membuta tuli. Mereka menilai berdasarkan tindakan, keikhlasan dan kesan sebenar kepada kehidupan mereka.
“Tiada parti boleh anggap sokongan itu milik kekal. Untuk kekal relevan, perlu dekat dengan rakyat,” katanya.
Oleh itu, Salleh berkata pemimpin wajar mendengar, memahami dan benar-benar berkhidmat kepada rakyat.
“Mesejnya adalah jelas bahawa rakyat bukan penonton tapi mereka penentu sebenar.
“Master is here” bermaksud tuan itu ada lah rakyat, bukan di pejabat parti atau kalangan elit.
“Inilah semangat perjuangan kita: Sabahan No 1 – Kita Radu. Suara rakyat Sabah mesti diangkat dan dihormati, kerana merekalah penentu masa depan negeri ini,” katanya.
