Mini Kilang Pemprosesan Lada Hitam Kg Lompios Bantu Tingkat Ekonomi Penduduk Kadamaian

KOTA BELUD: Mini Kilang Pemprosesan Lada Hitam di Kampung Lompios Kadamaian adalah antara yang terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Kadamaian di bawah Pembangunan Keusahawanan Desa.

Advertisements

Pengwujudan mini kilang di kampung itu adalah atas sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.

Ewon berkata, mini kilang itu dibina di Kampung Lompios kerana kampung itu adalah antara kampung yang mempunyai ramai pengusaha lada hitam di kawasan Kadamaian.

“Kampung ini adalah antara yang terawal kita bantu untuk memulakan penanaman lada hitam beberapa tahun lepas semasa saya menjadi Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Lada Malaysia.

“Saya gembira kerana perusahaan tanaman lada hitam oleh komuniti gereja dan komuniti kampung di sini masih diteruskan sehingga kini,” katanya selepas menghadiri Program Gotong-Royong di Kg.Lompios dan SIB Kg.Takulung, di sini.

Terdapat dua bangunan mini kilang pemprosesan lada hitam di Kadamaian terletak di Kg.Lompios iaitu Kilang Sundu Sabah Pepper milik Janus Tion dan Mini Kilang Pemprosesan Produk Lada milik komuniti.

Ewon yang juga mantan Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, beliau akan meneruskan usaha membantu membangunkan industri lada hitam di Kadamaian.

“Sebelum menjadi wakil rakyat, saya berusaha mendapatkan peruntukan bagi membekalkan benih lada hitam, tiang sokongan, kursus dan lawatan berkaitan kepada pekebun kecil di Kadamaian.

“Selepas menjadi wakil rakyat, saya menyediakan peruntukan khas untuk meneruskan inisiatif-inisiatif tersebut kerana ia adalah antara program peningkatan sumber ekonomi penduduk di sini,” katanya.

Beliau berharap pengwujudan dua mini kilang lada hitam di kawasan itu akan memberi manfaat kepada semua pengusaha lada hitam di Kadamaian.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Penanam dan Pengusaha Lada Hitam (PLAS) Kota Belud Janus Tioon berterima kasih kepada Ewon atas sokongan memudahcara mendapatkan sumbangan dana daripada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Yayasan Sabah untuk membina Kilang Lada Hitam di Kg.Lompios.

“Kilang saya (Sundu Sabah Pepper) sudah beroperasi tetapi ada dua mesin yang belum dimasukkan dan masih dalam proses penghantaran oleh Lembaga Lada Malaysia.

“Manakala kilang komniti pula belum lagi beroperasi sebab ada sedikit kerja-kerja tambahan di bahagian luar bangunan yang belum siap dan menunggu peralatan serta mesin-mesin untuk kilang itu,” katanya.

Janus berkata, apabila mini kilang itu beroperasi sepenuhnya, mereka akan membeli hasil lada hitam daripada para pengusaha di seluruh Kota Belud untuk diproses di kilang komuniti.

Dalam pada itu, Ewon turut meninjau kemudahan yang terdapat di kampung itu termasuk jambatan gantung, rumah penginapan pelancongan, jalan konkrit kampung dan bangunan tamu yang telah dilaksanakan beberapa tahun lalu.

“Saya juga meninjau mini kilang pemprosesan lada hitam komuniti dan mini kilang usahawan Sundu Pepper di Kampung ini. Saya berharap kerajaan dan pejabat pentadbir pembangunan Kadamaian yang ada sekarang dapat meneruskan kemudahan seperti ini untuk rakyat Kadamaian,” katanya.

Ewon turut meninjau aktiviti gotong-royong jemaat SIB Kg.Takulung Kadamaian untuk menyiapkan dewan makan gereja.

“Tahun lepas, saya menyalurkan peruntukan menyiapkan pembinaan bangunan ini dan dibawah program Touchpoint Adun tahun ini saya menyalurkan sumbangan bagi pemsangan siling,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles