Keputusan Kerajaan Ketatkan Rentas Daerah, Negeri Untuk Landaikan Pandemik Covid-19

BELURAN: Keputusan kerajaan mengetatkan pergerakan rentas daerah dan negeri di negara ini adalah untuk kebaikan rakyat bagi melandaikan pandemik Covid-19.
 
Justeru, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengajak semua rakyat tanpa mengira di mana mereka berada supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) khususnya ketika perayaan Hari Raya Aidilfitri.  
 
“Kita tahu negara ketika ini sedang berhadapan dengan fasa jangkitan ketiga dimana angka statistik setiap hari terdapat peningkatan. Sebab itu rakyat mempunyai peranan bersama membantu dalam usaha membantu kerajaan melandaikan jangkitan Covid-19 ini daripada merebak.
 
“Kita tidak mahu negara kita menjadi seperti negara luar yang situasi pandemik Covid-19 diluar kawalan untuk ditangani dan menyebabkan ramai rakyat tidak mendapat rawatan sebaiknya.Keadaan ini boleh berlaku di Malaysia jika kita tidak patuh kepada SOP yang dikenakan oleh kerajaan,” katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas di Majlis Berbuka Puasa di Kampung Bintang Mas Telupid dekat sini, semalam.
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata adalah menjadi keutamaan kepada kerajaan untuk memastikan keadaan negara kembali kepada yang asal agar ada petumbuhan ekonomi dan aktiviti rakyat tidak terbatas.
 
“Untuk sampai kembali ke tahap itu, kita mesti akur kepada SOP dan sekatan yang ketat dibuat oleh kerajaan,” katanya.
 
Mengulas mengenai program vaksinasi Covid-19 di negara ini, Ronald berkata proses itu sedang giat dilakukan dengan bergantung kepada jumlah bekalan vaksin yang ada.
 
  Katanya kerajaan telah dan sedang mengambil inisiatif terbaik untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 dan selepas memperolehinya, akan melaksanakan program vaksinasi secara agresif di seluruh negara.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles