KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, perasmian Wisma Co-Opbank Pertama (CBP), menunjukkan satu kejayaan yang membanggakan kepada gerakan koperasi negara.
Beliau berharap kejayaan itu akan menjadi motivasi dan inspirasi kepada lebih 16,000 koperasi lain di negara ini untuk turut sama meraih kejayaan.
“Ini merupakan satu petunjuk kejayaan yang sangat membanggakan daripada koperasi Co-Opbank Pertama iaitu bank koperasi kedua di negara kita.
“Mudah-mudahan kejayaan koperasi ataupun Co-Opbank Pertama ini menjadi motivasi dan inspirasi kepada koperasi-koperasi lain di negara ini meraih kejayaan yang sama. Ini sangat bermakna kerana CBP telah genap sambutan ulang tahunnya yang ke-75 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Wisma CBP, di sini, hari ini, mewakili Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, Ewon turut mengalu-alukan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) yang menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus.
“Saya yakin langkah ini akan memberi kesan positif kepada usahawan-usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), terutamanya dalam aspek pembiayaan dan pengembangan perniagaan,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa perbincangan berkaitan isu tarif antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat yang sedang dirundingkan, bersama pelbagai inisiatif lain, akan terus memberi sokongan kukuh kepada ekosistem PMKS di negara ini.
“Mudah-mudahan dengan rundingan tarif dan inisiatif-inisiatif yang diteruskan dalam negara, kita dapat terus menyokong pertumbuhan PMKS agar mereka terus menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi CBP Datuk Baharom Embi, pengurusan tertinggi CBP, wakil koperasi, serta pegawai-pegawai daripada agensi dan KUSKOP.
