KOTA KINABALU: Selepas Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) melakukan kejutan dalam PRU lepas apabila calon KDM Datuk Wetrom Bahanda menewaskan presiden PBS Datuk Dr Maximus Ongkili di Parlimen Kota Marudu, KDM kini dikatakan bakal memberi kesan besar kepada PBS dan STAR, kedua-dua parti anggota Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dalam PRN akan datang.
Ramai pemerhati politik meramalkan PBS dan STAR berdepan tugas berat untuk mempertahankan atau memenangi kerusi DUN yang akan diperuntukkan kepada parti itu, terutama di kawasan Pedalaman dan Pantai Utara Sabah.
Ini termasuk kerusi tradisi PBS – DUN Matunggong, Tandek, Bandau, Melalap, Limbahau dan kerusi STAR – Dun Tulid dan Sook.
Mereka juga menjangka KDM yang kini diterajui Priscella Peter mampu memberi saingan kuat di kawasan kubu kuat PBS termasuk DUN Kundasang, Kiulu, Tamparuli dan kubu STAR – Liawan dan Bingkor.
Penganalisis Politik dan Aktivis Sosial Dr Kanul Gindol mengakui senario politik Sabah sukar diramal dan sentiasa bergelora.
“Saya melihat kebelakangan ini ada kecenderungan orang-orang kita berpihak kepada parti tempatan terutama di kawasan ramai pengundi komuniti Kadazandusun Murut, dan disini lah ada sedikit kelebihan parti KDM,” katanya.
PBS dan STAR merupakan anggota GRS yang secara bersama PH Sabah memerintah negeri ini.
Dr Kanul berkata sambutan rakyat yang sangat menggalakkan terhadap majlis-majlis politik dan bukan politik anjuran KDM kebelakangan ini adalah antara petanda jelas parti itu bakal memberi saingan hebat kepada Star dan PBS mahupun GRS.
“Saya sendiri ada menghadiri beberapa majlis anjuran KDM di sekitar Kadamaian, dan mendapati sokongan rakyat kepada KDM sedang meningkat.
“Kita tidak tahu penamatnya tetapi jelas rakyat yang beralih daripada GRS, BN mahupun PH, tidak banyak pilihan pada masa ini,” katanya ketika dihubungi Jesselton Times.
Menurut Dr Kanul lagi, di kawasan majoriti Kadazandusun, terdapat kecenderungan yang semakin meningkat untuk memberi peluang kepada KDM lebih-lebih lagi jika calon parti kerajaan yang bertanding di kawasan berkenaan bukan dari Star atau PBS.
“Kerusi-kerusi seperti Pitas dan Bengkoka adalah menarik diperhatikan lebih-lebih lagi parti KDM disebut akan meletak calon di salah satu kerusi itu.
“Demikian juga dengan Kadamaian, jika GRS dan PH meletak calon gabungan dari UPKO, tidak ada jaminan penyokong PBS, Star dan PBRS akan mengundi calon Upko,” katanya sambil menambah pada PRN lepas PBS dan PBRS bertembung di situ.
Dalam pertembungan pada 2020 itu, katanya, jumlah undi yang diperolehi PBS dan PBRS hampir menyamai undi UPKO yang menang Kadamaian ketika itu.
Katanya lagi, kini UPKO tidak bersama Warisan lagi, sebaliknya bersama dengan PH dan GRS, sedangkan sentimen anti-parti Malaya sedang kuat di peringkat akar umbi.
“Siapa yang untung dengan senario begini masih awal untuk dipastikan, bagaimanapun telah juga wujud kecenderungan baru untuk menolak budaya politik rasuah, tamak dan terlalu lama memegang jawatan.
“Kehadiran KDM telah memberi nafas baru kepada lanskap politik terutama di kawasan masyarakat Kadazandusun dan Murut yang selama 40 tahun ini naratif politiknya dikuasai PBS dan kemudian diwarnai STAR.
“Setiap bulan dari sekarang adalah perubahan yang menarik bagi semua parti termasuk KDM menuju ke pilihanraya negeri,” tambahnya lagi.