KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa bin Haji Aman mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan kepada seluruh umat Islam.
Umat Islam mula berpuasa pada hari Ahad, seperti yang diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerusi siaran RTM malam tadi.
Menurut Tun Musa, ibadah puasa merupakan rukun Islam yang ketiga dan memberikan pengajaran yang sangat mendalam kepada umat Islam. Beliau menegaskan bahawa salah satu hikmah besar dalam pelaksanaan ibadah puasa adalah menginsafi kesusahan yang dihadapi oleh golongan yang kurang berkemampuan.
Sehubungan itu, Tuan Yang Terutama Tun menyeru seluruh umat Islam agar menghayati sepenuhnya ajaran Islam yang menitikberatkan nilai keprihatinan serta amalan membantu mereka yang memerlukan.
“Ibadah puasa pada bulan Ramadan ini menjadi platform bagi umat Islam untuk merenungi nasib dan kebajikan golongan miskin,” kata Yang di-Pertua Negeri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Perhubungan Istana Negeri.
Sementara itu, satu majlis kesyukuran dan doa selamat telah diadakan di Istana Negeri malam tadi sempena melihat anak bulan Ramadan. Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa turut hadir menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah, selain membaca Surah Yasin serta bertahlil bersama lebih kurang 120 orang tetamu. Majlis tersebut dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negeri, Haji Suaidi Kuanting.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmy Yahya; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong; serta para Pembantu Menteri.
Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Sohibus Samahah Datuk Bongsu Aziz Jaafar, membacakan keputusan tinjauan ahli jawatankuasa melihat anak bulan yang diadakan di Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, kepada Tuan Yang Terutama Tun.