KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Anugerah Enterprise 50 (E50) mengiktiraf pencapaian usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negara menuju pasaran modal.
Beliau berkata, sejak anugerah itu diperkenalkan sehingga kini, ia berjaya melahirkan seramai 763 alumni dan daripada jumlah itu, 67 penerima anugerah atau syarikat telah tersenarai di pasaran modal serta berjaya meluaskan pasaran di dalam dan luar negara.
“Ini menunjukkan bahawa anugerah ini boleh menjadi platform kepada syarikat-syarikat untuk terus berkembang maju bukan hanya kekal sebagai syarikat dalam kategori menengah tetapi boleh menjadi syarikat multi national, syarikat yang tersenarai di Bursa atau di pasaran modal.
“Saya berharap pengiktirafan yang diberikan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SME Corp kepada 50 syarikat PMKS terbaik negara akan mencetuskan inspirasi dan motivasi kepada PMKS dan usahawan lain di seluruh negara untuk turut sama mencapai kejayaan.
“Majlis pada malam ini juga sangat signifikan kerana di negara kita terdapat sekitar 1.1 juta syarikat PMKS yang berdaftar tetapi 50 syarikat yang menerima anugerah pada malam ini adalah yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis E50, di Grand Ballroom Hotel Mandarin Oriental, di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Kopearsi Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi SME Corp Malaysia Tan Sri Bernard Dompok, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Rizal Nainy dan Ketua Pegawai Eksekutif Deloitte Malaysia Yee Wing Peng.
Ewon berkata, kementeriannya akan terus memberikan sokongan sepenuhnya kepada PMKS melalui pelaksanaan inisiatif-inisiatif dalam belanjawan tahunan dan inisiatif dalam dasar keusahawanan negara.
“Mudah-mudahan dengan kerjasama semua pihak termasuk kementerian-kementerian dan agensi lain yang juga terlibat membangunkan komuniti usahawan negara, lebih banyak syarikat atau usahawan PMKS berkembang menjadi syarikat besar dan tersenarai di bursa atau pasaran modal dan menembusi pasaran antarabangsa.
“Ini penting untuk mencapai sasaran kita iaitu PMKS boleh menyumbang kepada nilai eksport sebanyak 15 peratus. Saya berharap anugerah ini dapat memotivasikan gerakan usahawan seterusnya membantu menyumbang kepada nilai eksport melalui pengantarabangsaan produk dan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata, bagi mencapai sasaran itu, kementerian melalui angesi SME Corp dan SME Bank mempunyai program tertentu untuk membantu syarikat-syarikat ke pasaran antarabangsa.
“Kementerian mempunyai inisiatif tersendiri bukan hanya PMKS tetapi termasuk gerakan koperasi dan komuniti penjaja di pelusuk negara termasuk di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau yakin usahawan atau syarikat daripada luar bandar juga mampu mencapai kejayaan luar biasa dengan sokongan kementerian dan usaha syarikat itu sendiri.