KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dijadual mengetuai sekitar 500 peserta konvoi Pemotoran Berkuasa Besar Jelajah Bandaraya Kota Kinabalu pada 26 Oktober ini.
Presiden Pemotoran Berkuasa Besar Sabah Datuk Osman Ahmed berkata konvoi motorsikal berkuasa tinggi (Berkuasa 500 cc dan keatas) itu akan bergerak mengelilingi bandaraya Kota Kinabalu yang diadakan sempena Festival Pemotoran Berkuasa Besar Antarabangsa Pulau Borneo tahun ini.
Menurutnya acara jelajah bandaraya atau city ride itu dijangka dilancarkan oleh Menteri Belia Dan Sukan Malaysia Hannah Yeoh.
“Jelajah Bandaraya ini merupakan salah satu program pengisian sempena Festival Pemotoran Berkuasa Besar Antarabangsa Pulau Borneo.
“Kita harap festival yang dihoskan oleh Sabah tahun ini akan membantu mempromosi sektor pelancongan negeri Sabah,” katanya.
Osman berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.
Turut hadir wakil Lembaga Penggalakan Pelancongan Sabah Mohamad Safani.
Osman berkata selain program Jelajah Bandaraya Kota Kinabalu, pelbagai acara menarik yang lain telah dirancang sepanjang festival itu.
Katanya ini termasuk pameran motosikal berkuasa besar, jualan barangan seperti motorsikal, peralatan motorsikal dan gerai makanan diadakan di SICC yang terbuka kepada orang ramai khususnya usahawan-usahawan dari negeri Sabah.
Osman berkata seramai 1,100 peserta, yang terbesar setakat ini, termasuk 400 orang dari Sabah akan menyertai Festival Pemotoran Berkuasa Besar Antarabangsa Pulau Borneo kali ke-22 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini selama tiga hari bermula 25 Oktober ini.
Osman berkata festival itu turut disertai 300 penunggang motosikal berkuasa tinggi masing-masing dari Brunei dan Kalimantan Indonesia manakala peserta selebihnya masing-masing dari negara
Singapura, Korea, India, Filipina, Myanmar dan Afrika Selatan.
Beliau berkata pihaknya menjangkakan kehadiran pengunjung termasuk dari luar negeri ke festival tiga hari itu mencecah angka 10,000 orang.