SCAC telah laksanakan dua kajian rintis sumbangan signifikan kepada agenda perubahan iklim negara – Mandela

Oleh Selamat T

KOTA KINABALU: Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCAC) telah melaksanakan dua kajian rintis bagi pihak Kerajaan Negeri, iaitu Penilaian Kerentanan terhadap risiko akibat perubahan iklim dan Laporan Inventori Gas Rumah Kaca (GHG) Sabah 2024. 

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata, usaha ini telah memberikan Kerajaan Negeri, buat julung kalinya, satu pemahaman yang komprehensif mengenai tahap pelepasan merentasi pelbagai sektor ekonomi. 

“Lebih penting lagi, ia mengesahkan status karbon negatif (net sink) bagi negeri ini, yang merupakan satu sumbangan yang amat signifikan kepada agenda perubahan iklim negara,” katanya.

Katanya, berdasarkan dapatan kajian tersebut, sebuah jawatankuasa kerja telah ditubuhkan bagi merangka undang-undang perubahan iklim di Sabah sebagai langkah memperkukuh tadbir urus dan tindakan  iklim negeri secara menyeluruh. 

“Usaha ini telah menghasilkan impak positif apabila Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025 Sabah telah diluluskan pada Julai 2025. 

“Majlis ini dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, manakala Setiausaha-Setiausaha Tetap serta Ketua-Ketua Jabatan dari pelbagai kementerian dan agensi berperanan sebagai ahli majlis,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup BN-Sook) apakah status terkini pelaksanaan SCAC sejak penubuhannya pada tahun 2024, termasuk struktur, peranan serta pelan tindakan yang telah dirangka bagi menangani isu perubahan iklim di Sabah.

Mandela berkata, penubuhan SCAC adalah bertujuan untuk memperkukuh penyelarasan tindakan perubahan iklim di peringkat negeri. 

Antara peranan utama SCAC termasuk membantu Kerajaan Negeri menetapkan hala tuju serta menyelaras pelaksanaan projek mitigasi dan adaptasi perubahan iklim di Sabah.

“Memandangkan isu adaptasi iklim yang semakin mendesak dan Sabah antara negeri yang paling terdedah kepada impak perubahan iklim, Majlis ini kini dalam rangka membangunkan pelan-pelan mitigasi dan adaptasi melalui penyelarasan bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berdasarkan kajian penilaian kerentanan dan adaptasi terhadap perubahan iklim di Sabah,” katanya. 

Dalam pada itu, Mandela berkata, Kerajaan Negeri turut berbangga dengan kedudukan Arthur yang kini memikul amanah sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam di peringkat Persekutuan. 

Katanya, kedudukan ini tentunya membuka ruang yang lebih luas untuk memperkukuh sinergi antara Kerajaan Negeri dan NRES, khususnya dalam memastikan Sabah dapat terus memainkan peranan yang bermakna dalam menjayakan agenda kelestarian negara serta komitmen iklim Malaysia di peringkat antarabangsa. 

Pada masa ini, katanya Kerajaan Negeri sedang giat mempertingkat dan memperkasa kapasiti pelbagai agensi berkaitan dalam pengumpulan data inventori Gas Rumah Kaca (GHG). 

“Usaha ini dilaksanakan bagi memastikan proses pelaporan kita adalah sejajar dengan ketetapan garis masa negara kepada pihak United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC).  “Di samping itu, Kerajaan Negeri juga sedang giat berusaha untuk mengenal pasti faktor-faktor yang khusus bagi Sabah. 

Mandela berkata, SCAC turut meneliti projek-projek mitigasi serta cadangan-cadangan projek karbon di Sabah.

“Kerajaan Negeri menerusi Majlis ini ingin memaklumkan bahawa susulan pewartaan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025, Kerajaan Negeri akan menubuhkan Pusat Pendaftaran dan Inventori Iklim Sabah (SaCRIC). 

“Pusat ini akan dipertanggungjawabkan untuk menyelia penguatkuasaan enakmen tersebut bagi pihak Kerajaan Negeri,” katanya.

Dalam masa yang sama, katanya SCAC memastikan segala dasar dan inisiatif negeri diselaraskan dengan agenda nasional melalui kerjasama rapat dengan National Designated Authority (NDA) yang akan ditetapkan, termasuk dalam aspek pelaporan, akses pembiayaan iklim serta pematuhan kepada komitmen Malaysia di bawah UNFCCC dan Perjanjian Paris. 

“Majlis ini akan bertindak sebagai badan induk yang bertanggungjawab merangka Dasar Perubahan Iklim Negeri. Dasar ini akan disejajarkan dengan keunikan ekologi berserta landskap sosioekonomi negeri, di samping mengambil kira pendekatan yang bersesuaian bagi mendepani ketidakpastian impak perubahan iklim terhadap negeri ini.  

“Dalam masa yang sama, SCAC memastikan segala dasar dan inisiatif negeri diselaraskan dengan agenda nasional melalui kerjasama rapat dengan National Designated Authority (NDA) yang akan ditetapkan, termasuk dalam aspek pelaporan, akses pembiayaan iklim serta pematuhan kepada komitmen Malaysia di bawah UNFCCC dan Perjanjian Paris,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles