KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) membuat keputusan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
Presidennya, Datuk Peter Anthony, berkata pihaknya sudah mengenal pasti antara 30 hingga 35 kerusi yang ramai pengundi Kadazandusun dan Murut (KDM) untuk ditandingi.
Katanya, keputusan tidak bekerjasama dengan mana-mana parti lain untuk menghadapi pilihan raya itu mengambil kira kedudukan PKDM yang dianggap sebagai parti kecil.
“Pimpinan parti kita sebulat suara memutuskan untuk bergerak secara solo, kerana kita ini parti kerdil, bukan macam mereka (parti lain), ada PAS, ada PN (Perikatan Nasional).
“Mana ada orang mahu parti kecil ini, parti nyamuk. Pada PRN nanti kita akan bertanding antara 30 hingga 35 kerusi, semuanya di kawasan KDM,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Ketika ini, PKDM memiliki dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Melalap yang disandang Peter sendiri dan Bandau yang disandang Timbalan Presidennya, Datuk Wetrom Bahanda.
Peter berkata, beliau dan Wetrom dijangka akan mempertahankan kerusi masing-masing, namun tidak menolak kemungkinan berlaku sebarang perubahan kerusi yang akan diumumkan menjelang PRN17 nanti.
Ditanya sama ada pihaknya menerima pelawaan daripada mana-mana parti untuk membentuk kerjasama menghadapi PRN, Peter mengakui ada perbincangan tidak rasmi dibuat, namun PKDM tetap dengan keputusan untuk bergerak sendiri.
Katanya, soal kerjasama hanya akan dibincangkan selepas keputusan PRN17 diketahui, yang mana ketika itu PKDM mungkin boleh menjadi ‘king maker’ atau parti yang akan menentukan pembentukan kerajaan negeri baharu.
“Kita memang mahu bertanding solo, soal kerjasama hanya akan difikirkan selepas PRN nanti dan kita doakan mudah-mudahan PKDM boleh menjadi ‘king maker’,” katanya.
Mengenai soal calon, Peter berkata pihaknya tidak menghadapi masalah untuk menentukan calon yang sesuai, malah ramai pemimpin parti itu sedia untuk dicalonkan.
Peter berkata, pihaknya juga sudah memikirkan ‘Pelan B’ atau langkah yang akan diambil jika beliau tidak boleh dicalonkan selepas keputusan Mahkamah Rayuan berkaitan kes memalsukan dokumen membabitkan dirinya diketahui pada 27 November depan.
Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu sebelum ini merayu terhadap sabitan dan hukuman kerana memalsukan dokumen berkaitan kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.
Ia adalah rayuan terakhir Peter selepas Mahkamah Tinggi pada 18 April tahun lalu menolak permohonannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen pada 26 Mei 2022.