KEMABONG:Wanita UMNO/BN Sabah kini berada dalam “ Zon Kuning ” bagi menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) Ke-17 .
Ketua Wanita UMNO/BN Sabah Senator Datuk Noraini Idris berkata berbekalkan beberapa pendekatan, rancangan, menyusun, pelaksanaan ,kebajikan dan kesiapsiagaan jentera, menjadi teras utama bagi menghadapi PRN Ke-17 yang kini berada di ambang pintu.
Katanya Wanita UMNO/BN Sabah telah siap sedia memasuki medan pertempuran Pilihanraya berdasarkan memontum kemenangan BN dalam dua pilihanraya kecil DUN Nenggiri di Kelantan dan DUN Mahkota di Johor baru-baru ini.
“ Bagi meneruskan memontum ini, kita perlu bersedia dan bekerja keras bagi mempastikan matlamat BN untuk mencapai kemenangan dalam PRK akan datang tercapai” katanya ketika berucap di majlis Pelancaran Jentera Jalinan Rakyat (JR) Wanita BN Parlimen Tenom di dewan Sri Ontoros Kemabong baru-baru ini.
Majlis Pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin dan turut dihadiri oleh Setiausaha Umno/BN Sabah Datuk Jafry Arifin, Bendahari UMNO/BN Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Ketua Umno Bahagian Tenom Datuk Raimee Unggi, Ketua dan Ketua Wanita UMNO/BN Tenom Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan.
Noraini turut mengucapkan tahniah atas kejayaan Wanita BN Parlimen Tenom yang pertama di negeri ini melancarkan jentera (JR) dan berharap beberapa jentera (JR) turut dilancarkan di beberapa kawasan Parlimen lain selepas ini.
“ Diperingkat Wanita UMNO/BN negeri kita juga akan mengadakan sirih jelajah ke bahagian-bahagian yang menjadi tumpuan dan program ini akan diadakan selewat-lewatnya penghujung bulan Oktober ini” katanya.
Sementara itu, Noraini berharap peratusan calon wanita pada PRN-17 akan ditingkatkan kepada 30 peratus seperti dijanjikan kepimpinan sebelum ini.
“ Kita berharap dalam PRN kali ini calon Wanita dapat ditonjolkan sekurang-kurangnya tiga ke empat calon mewakili Wanita ,langkah ini selaras dengan statik peratus pengundi dimana hampir 49% adalah pengundi Wanita di seluruh negara” katanya.
Bagaimana pun Noraini yang juga Ketua Wanita Umno bahagian Penampang yakin kepimpinan UMNO/BN Sabah dibawah kepimpinan Bung akan melihat dan memberikan pertimbangan terhadap permintaan ini berdasarkan keteria yang ditetapkan iaitu calon yang disukai oleh rakyat dan boleh membawa kejayaan kepada BN.
“ Kita akan sokong siapa sahaja calon yang mewakili Wanita memenuhi keteria ini dan kami bersetuju pandangan soal calon parti tidak akan memaksa rakyat menerima calon yang dicadangkan parti sebaliknya calon yang dikehendaki oleh rakyat dan boleh menang perlu diberikan keutamaan” tambah Noraini.
Sehubungan dengan itu Noraini meminta jentera Wanita jangan leka dengan tugas dan tanggung jawab.
Katanya, Jentera Wanita mesti ada keyakinan bagi memastikan perjuangan Umno/BN terus maju, mesti ada kekuatan bersama-sama menjayakan agenda transformasi parti dan komitmen mendampingi rakyat secara berterusan.
“Dalam mengharungi cabaran semasa, Wanita perlu memperkukuh kerjasama dan lebih fokus terhadap tindakan selain berdisiplin dan berintegriti.
“Kesatuan perjuangan mesti ada. Komitmen dalam tugasan mesti dipupuk,” katanya.