KGKS mahu kaedah semakan kelayakan elaun insentif perumahan wilayah dikaji semula

KOTA KINABALU: Ahli majlis tertinggi dan exco Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) sebulat suara memutuskan agar
pembayaran elaun insentif perumahan wilayah kepada semua ahli kesatuan yang telah menerima surat semakan kelayakan pembayaran ditangguhkan sehingga isu semakan itu ditangani.

Advertisements

Menurut Presiden KGKS Murkam Hj Hussien, KGKS terpanggil untuk merayu dan membela nasib ahli-ahli kesatuan terbabit kerana bimbang kaedah penentuan jarak 25km tidak menggambarkan keadaan sebenarnya.

“Pihak KGKS berpendapat kaedah penentuan jarak 25km adalah merujuk kepada jarak melalui satu garis lurus (radius) di atas peta, dan kami tidak bersetuju keadah ini.

“Ini kerana jarak adalah tetap dan tidak terpengaruh dengan pembinaan jalan raya baharu yang kurang relevan digunapakai di negeri Sabah memandangkan muka bumi yang berbukit dan aliran sungai,” katanya.

Murkam berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat AMT dan Exco KGKS di pejabat KGKS, Sinsuran dekat sini pada Ahad.

Beliau berkata KGKS akan mendapatkan penjelasan Kementerian Pendidikan berhubung perkara itu bagi memastikan ahlinya yang terlibat mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Dengan isu kos sara hidup yang semakin tinggi di samping harga barangan yang melonjak naik, maka satu kaedah yang lebih sesuai dan berfokus mengikut keadaan di sesebuah negeri wajar dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata kementerian dalam menyusun atur segala kaedah dalam pengiraan Elaun Insentif Perumahan Wilayah perlu mengambil kira semua perkara.

“Kita tidak boleh mengandaikan sesuatu perkara itu serupa dengan tempat yang lain tetapi perlu melihat secara terperinci agar kaedah yang ditetapkan akan lebih bersifat adil dan menyeluruh,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles