TAMPARULI: Para pemimpin adat yang baharu disaran agar sentiasa mendekati dan berkawan dengan mana-mana mantan pemimpin adat yang diganti oleh mereka dalam tugasan di kampung.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, para Ketua Kampung dan Wakil Ketua Anak Negeri perlu mengambil dan menimba segala ilmu yang ada, selain memperkukuhkan persahabatan dengan mantan Ketua Kampung mereka.
“Sekiranya ada persoalan, dekatilah mereka yang boleh memberi tunjuk ajar, nasihat dan pandangan, agar kampung yang dipimpin oleh anda, dapat ditadbir licin dan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Adat Kawasan DUN N.14 Tamparuli, di Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, dekat sini, pada Isnin.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, dan Ketua Daerah Tamparuli, OKK Jular Harung.
Jahid, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, menekankan mereka yang dilantik untuk bekerja sebaik mungkin, agar pengetahuan baharu tersebut akan mempermudahkan lagi kelancaran mereka menjalankan tugasan nanti.
“Jagalah tatasusila dan perlakuan yang baik agar tidak mencemarkan nama baik kerajaan, dan tidak mencetuskan perkara-perkara yang boleh memudaratkan kita semua,” katanya.
Terdahulu, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, menekankan pentingnya menggariskan, mendokumenkan, merancang, dan memperhalusi peraturan adat yang ada di setiap kampung, kerana di kawasan Tamparuli mempunyai banyak perbezaan dari segi adat kampung masing-masing
Tiga orang penerima watikah terdiri daripada Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Lim Ikat, Ketua Kampung Bukit Giling, KK Patrin Sabinus, dan Ketua Kampung Bantayan, KK Francis Sinail @ Faizal Mohd Sabree.