KOTA BELUD. Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini harus lebih agresif melahirkan graduan berkualiti dan sentiasa relevan bagi memudahkan mereka memasuki pasaran kerja tempatan dan antarabangsa.
Ke arah itu, bekas ketua menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata
graduan perlu didedahkan dan mempunyai kemahiran berfikir secara kritis, kepimpinan, kerja berpasukan dan mempunyai karakter global.
“Dunia pekerjaan dengan ketidaktentuan ekonomi hari ini amat mencabar. olej itu, para graduan perlu bersedia untuk bersaing demi pekerjaan dan masa depan,” katanya.
Salleh yang juga ADUN Usukan berkata
demikian ketika berucap merasmikan Pogram Kerjaya PERKESO di sini hari ini.
Program itu merupakan anjuran bersama SSK Centre, Akademi Pembangunan Minda Sdn Bhd dan Pertubuhan Keselamatan Sosial atau PERKESO.
Dalam hal ini, Salleh menyambut baik inisiatif Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang sentiasa komited mempergiatkan pelbagai inisiatif ke arah meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Menurutnya Kadar Belum Bekerja Graduan bagi negeri Sabah telah menunjukkan penurunan pada tahun 2023 sebanyak 7.6% kepada 14.2% berbanding tahun 2022 sebanyak 21.8%.
Beliau berkata penurunan itu membuktikan usaha yang dilakukan oleh kerajaan khususnya melalui kerjasama sebegini amat signifikan dan yakin kadar pengangguran negeri Sabah akan terus berjaya dikurangkan.
Salleh berkata menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), secara holistiknya sejumlah 569.2 ribu penganggur direkodkan pada Suku keempat 2023.
Katanya kadar tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 0.3 peratus 570.9 ribu orang pada suku sebelumnya.
Salleh berkata SSK Centre akan sentiasa berusaha dan komited dalam membantu melonjak dan meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan IPT demi kebaikan bersama.