KOTA KINABALU: Generasi muda perlu memahami pentingnya perancangan bajet dan simpanan, serta perlindungan kewangan untuk menguruskan risiko utama dalam kehidupan sekiranya keadaan yang tidak diingini berlaku, kata Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki.
Katanya, membentuk tabiat kewangan yang sihat pada usia muda dapat membina asas yang kukuh untuk masa depan, membawa kepada keputusan kewangan yang lebih baik, dan mengurangkan kemungkinan jatuh ke dalam hutang atau kesukaran kewangan dalam kehidupan.
Menurutnya, satu kajian oleh Ringgit Plus pada kaji selidik Literasi Kewangan Malaysia 2021 mendapati bahawa 57 peratus daripada golongan muda tidak dapat bertahan lebih daripada tiga bulan hanya dengan simpanan jika kehilangan pendapatan.
Satu kajian lain oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia PIDM) pula mendedahkan bahawa golongan muda dalam lingkungan umur 25-34 tahun adalah kumpulan yang paling kurang dilindungi untuk insiden kesihatan atau kematian pasangan.
“Statistik ini memberikan gambaran yang memilukan. Ramai dalam populasi muda tidak mempunyai perlindungan kewangan yang mencukupi, menjadikan mereka rentan kepada krisis dan rintangan yang tidak dijangka.
“Dalam landskap ekonomi yang sentiasa berubah, kerentanannya boleh memberi kesan yang menghancurkan kepada stabiliti masa depan mereka.
“Dalam dunia di mana keputusan kewangan boleh memberi kesan jauh ke hadapan, statistik ini juga adalah satu seruan untuk mengambil tindakan.
Golongan muda kita harus dibimbing dengan lebih baik. Sebagai penjaga yang bertanggungjawab terhadap masa depan mereka, kita tidak boleh membiarkan situasi ini berterusan.
“Kita berada di ambang era baharu, di mana kesejahteraan kewangan generasi muda menjadi tumpuan utama, kita mengenali keperluan mendesak untuk mengubah pendekatan dalam melengkapi warganegara muda dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk mengemudi landskap kewangan yang kompleks pada abad ke-21,” katanya ketika merasmikan Penutupan Program Literasi Kewangan “Shape your Future”# FitFinances, anjuran Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Malaysian Takaful Association (MTA), di sini Sabtu lalu (18 Nov).
Memuji penganjuran program ini, Julita yang juga ADUN Matunggong berkata, Shape Your Future #FitFinances yang merupakan usaha bersama antara AKPK dan MTA dengan kerjasama Kolej Vokasional Malaysia sebagai sebahagian daripada Bulan Literasi Kewangan bersama Rangkaian Pendidikan Kewangan, mewakili komitmen untuk memupuk kesedaran pengurusan kewangan di kalangan generasi muda.
Katanya, usaha ini adalah satu bukti kepada kepercayaan terhadap potensi mereka, impian mereka, dan kemampuan mereka untuk membentuk hari esok yang lebih cerah.
“Saya fikir sasaran program untuk membina asas secara menyeluruh bagi kesejahteraan emosi, rohani, perlindungan kewangan, alam sekitar, sosial, fizikal, dan kerjaya generasi muda telah dicapai. Dengan mengguna pakai pendekatan yang tepat pihak penganjur telah juga menyediakan proses pembelajaran kewangan yang menyeronokkan dan menarik pada kali ini,” ujarnya.
Beliau juga menekankan bahawa harapan dan perancangan untuk membangun generasi muda yang bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan mereka bukanlah satu usaha yang berkala.
Justeru, beliau yakin program ini akan berterusan dan diteruskan sehingga dapat mencapai kesejahteraan dan sasaran yang diinginkan.
“Sesungguhnya kita mengimpikan suatu masa depan di mana literasi kewangan menjadi sebahagian daripada elemen yang penting dalam sistem pendidikan kita yakni setiap individu muda memiliki akses kepada alat dan sumber yang diperlukan untuk mengemudi landskap kewangan dengan penuh keyakinan,” katanya.
Mengucapkan tahniah kepada MTA, AKPK dan Kolej Vokasional serta semua pelajar yang turut serta untuk menjadikan program ini satu kenyataan, beliau berkata, komitmen dan dedikasi mereka terhadap pengurusan pendidikan kewangan amat dihargai.
“Bersama-sama, kita akan membuka jalan untuk membentuk generasi yang celik kewangan dan berdaya ekonomi,” katanya, sambil menasihati para peserta mengambil peluang diberikan dengan semangat, rasa ingin tahu dan tekad.
“Pengetahuan yang anda peroleh di sini akan berfungsi sebagai kompas, membimbing anda ke arah masa depan kejayaan dan kestabilan kewangan.”
Beliau juga menegaskan pendidikan yang diterima ini bukanlah sekadar pelaburan dalam generasi muda tetapi pelaburan dalam kemakmuran dan ketahanan negara.