Madius persoal peruntukan Kerajaan untuk pengusaha nanas di Sabah  


 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mempersoalkan sama ada terdapat peruntukan yang disalurkan kepada pengusaha nanas di Sabah atau sebaliknya.
 
Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan selaku pemerintah untuk memastikan hak-hak para pengusaha nanas di seluruh Malaysia terbela terutamanya di Sabah.
 
“Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan Kerajaan Sabah melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah menandatangani satu Perjanjian Persefahaman (MoU)  tentang bagaimana perihal nanas di Sabah ini dapat diurus tadbir.
 
“Sehubungan dengan itu, Tuaran meminta Kerajaan Persekutuan menyatakan bagaimanakah cara kerajaan persekutuan menyalurkan peruntukan untuk pembangunan nanas di Sabah? Dan sekiranya ada, agensi manakah yang bertanggungjawab, dan berapakah jumlah peruntukan yang telah disalurkan sejak MoU itu ditandatangani,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perbahasan Bajet 2024 Peringkat Jawatankuasa pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.
 
Untuk rekod, peruntukan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) pada tahun 2024 meningkat kepada RM33.1 juta berbanding hanya RM24 juta yang diperuntukkan pada Bajet 2023.
 
Menurut Madius, seluruh rakyat Sabah juga mahu mendapatkan maklumat bagaimana memohon bantuan penanaman nanas bagi meningkatkan pendapatan serta memperluaskan lagi tanaman komoditi tersebut.
 
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu turut mempersoalkan sama ada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah bercadang untuk mengubahsuai MoU yang ditandatangani dengan memasukkan komoditi Kelapa dan Durian.
 
“Umum mengetahui, bahawa baru-baru ini iaitu pada 25 Oktober 2023, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II, iaitu Yang Amat Berhormat Petra Jaya, membuat keputusan bahawa skop LPNM akan diperluaskan untuk mengetengahkan komoditi bernilai tinggi seperti Kelapa dan Durian. 
 
“Adakah pihak Kerajaan Persekutuan tidak mahu mencadangkan kepada Kerajaan Sabah supaya LPNM ini diperluaskan ke Sabah melalui satu bentuk devolution of power seperti Sarawak.
 
“Yang mana program-program LPNM yang dilaksanakan di Sabah akan melalui penurunan kuasa kepada agensi Kerajaan Sabah di bawah MAFI. 
 
“LPNM telah menubuhkan tiga cawangan di sarawak iaitu LPNM Sarawak Cawangan Kuching, Cawangan Samarahan dan Cawangan Sibu.
 
“Tuaran percaya pewujudan cawangan-cawangan ini telah memberi sumbangan terhadap peningkatan keluasan tanaman nanas di Sarawak kepada 2,049 ha iaitu kedua terbesar selepas Johor iaitu 10,211 ha. 
 
“Penurunan kuasa ini penting agar pengusaha nanas, kelapa dan durian mendapat pembelaan untuk memacu pembangunan ketiga-tiga komoditi tersebut di Wilayah Sabah,” katanya.
 
Sabah merupakan negeri ke-4 pengusaha nanas terbesar di Malaysia dengan keluasan tanaman sebanyak 1,083 ha.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles