Elak rakyat keliru, Kerajaan diminta perjelas projek penanaman padi di Sabah


 
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk menjelaskan secara terperinci projek penanaman padi yang bakal dilaksanakan di Sabah bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan rakyat.
 
Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) berkata, pada 12 September 2023, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan bahawa kerajaan bercadang membangunkan tanah seluas 50,000 ekar (20,234 hektar) untuk tujuan penaman padi di negeri tersebut.
 
“Tetapi sahabat saya ini tidak menyatakan di mana letaknya tanah seluas itu bagi tujuan penanaman berkenaan.
 
“Kemudian pada 16 Oktober 2023, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa menjawab soalan lisan daripada Yang Berhormat Semporna mengumumkan bahawa Kerajaan akan melaksanakan penanaman padi seluas 2,158 hektar di Sabah iaitu di Beluran dan Kota Belud.
 
“Tuaran ingin tahu, adakah kedua-dua menteri ini merujuk kepada perkara yang sama atau berlainan?”
 
Madius berkata demikian dalam ucapan perbahasan pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.
 
Beliau juga meminta penjelasan agar kerajaan dapat memaklumkan agensi yang akan mengawal selia projek penanaman padi itu.
 
“Kalau di Kota Belud adakah ia berada dibawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA)?
 
“Kalau di Beluran, agensi yang mana pula? Rakyat Sabah khususnya di Daerah Kota Belud juga ingin tahu, dari manakah nanti air yang akan diambil untuk tujuan pengairan tanaman padi berkenaan?
 
“Berapakah jumlah peruntukan yang diperlukan? Dan apakah peranan Kerajaan Sabah dalam penanaman padi yang dicadangkan ini,” katanya.
 
Untuk rekod, pada tahun 2010, sebuah projek jelapang padi telah diuluskan di Kota Belud di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan peruntukkan lebih RM1 Bilion.
 
Namun projek tersebut yang melibatkan pembinaan empangan untuk tujuan pengairan dan saliran sawah padi telah dibantah oleh penduduk tempatan.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles