KOTA KINABALU: Usaha mempromosikan durian premium dan tanaman avocado tempatan menjadi antara fokus utama Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah dalam meningkatkan pendapatan petani di negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, inisiatif itu selari dengan usaha memperkukuh sektor agromakanan selain membantu pengusaha luar bandar menjana pendapatan tambahan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis santai durian bersama pengamal media di sini, hari ini yang dihadiri kira-kira 45 wakil media.
“Petang ini kita adakan majlis santai durian bersama media sebagai platform mengeratkan silaturahim antara MAFFI dan rakan-rakan media.
“Kita tidak hidangkan makanan berat, tetapi memberi peluang menikmati buah-buahan seperti durian Musang King, Black Thorn serta memperkenalkan avocado tempatan,” katanya.
Menurutnya, varieti avocado tempatan dikenali sebagai QAV1 atau dijenamakan semula sebagai Queen Sabah Avocado kini menunjukkan potensi pasaran yang memberangsangkan.
“Avocado ini mempunyai pasaran yang cukup baik dengan harga ladang sekitar RM12 hingga RM15 sekilogram dan harga eksport juga semakin meningkat,” katanya.
Sehubungan itu, Jamawi berkata, pihaknya akan memperluaskan program bantuan penanaman avocado khususnya di kawasan pedalaman seperti Tenom, Keningau, Kota Marudu, Kudat dan Ranau.
Katanya, inisiatif itu diharap mampu menjadi sumber pendapatan sampingan kepada petani selain tanaman sedia ada.
Dalam pada itu, beliau berkata, program Jelajah Kebun Dapur akan diteruskan sempena Pesta Kaamatan bermula 1 Mei ini di Papar.
“Melalui program ini, kita akan mengagihkan benih sayuran secara percuma, manakala anak pokok buah-buahan, ternakan dan benih ikan ditawarkan pada harga diskaun sehingga 50 peratus.
“Ia termasuk anak ayam, ayam penelur, ayam pedaging, burung puyuh serta benih ikan seperti tilapia, patin dan keli,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakkan masyarakat menanam sayur-sayuran dan menternak di kawasan rumah bagi menambah pendapatan isi rumah.
Selain itu, Jamawi berkata, sebanyak 25 pusat pengumpulan hasil pertanian telah diaktifkan di setiap kawasan parlimen bagi memudahkan pemasaran hasil petani.
Katanya, sebuah aplikasi digital juga akan dilancarkan tidak lama lagi bagi membantu mengenal pasti bekalan hasil pertanian dan memudahkan urusan pemasaran.
“Peranan ini akan digerakkan oleh Sabah Agriculture Marketing Authority (SAMA) yang berfungsi seperti FAMA bagi memastikan hasil petani dapat dipasarkan pada harga munasabah.
“Apabila berlaku lambakan, SAMA akan membeli hasil pertanian bagi mengelakkan kerugian kepada petani,” katanya.
Mengulas isu lambakan durian kampung, beliau berkata, pihaknya merancang untuk meningkatkan nilai durian tempatan melalui teknologi cantuman dewasa bagi menghasilkan durian premium.
“Setiap musim kita lihat lambakan durian kampung menyebabkan harga jatuh serendah RM3 hingga RM5 sekilogram.
“Sedangkan durian premium seperti Musang King boleh mencecah sehingga RM75 sekilogram dan Black Thorn sekitar RM85 sekilogram,” katanya.
Beliau berkata, langkah menaik taraf durian kampung kepada varieti premium mampu meningkatkan nilai pasaran serta pendapatan pekebun.
Dalam perkembangan lain, Jamawi berkata, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kebergantungan import makanan ternakan yang kini mencecah 98 peratus.
Katanya, antara langkah diambil ialah membuka kira-kira 1,000 hektar ladang jagung secara komersial tahun ini dengan peruntukan RM25 juta.
“Inisiatif ini penting bagi menstabilkan kos makanan ternakan sekali gus membantu mengurangkan harga ayam dan telur di pasaran,” katanya.
Beliau turut menggalakkan masyarakat luar bandar menternak ayam penelur secara kecil-kecilan sebagai langkah meningkatkan sumber makanan dan pendapatan keluarga.
Dalam masa sama, Jamawi berkata, Kerajaan Negeri menyasarkan peningkatan tahap sara diri (SSR) beras daripada 20 peratus kepada 40 peratus dalam tempoh lima tahun.
Katanya, strategi termasuk meningkatkan hasil padi sehektar serta mengaktifkan semula kira-kira 3,000 hektar sawah terbiar di beberapa daerah termasuk Kota Belud dan Kota Marudu.
“Dengan usaha bersepadu ini, kita yakin sektor agromakanan Sabah akan terus berkembang dan mampu menjamin sekuriti makanan negeri,” katanya.
