KOTA BELUD: Adun Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengajak masyarakat memanfaatkan penganjuran program Hari Terbuka anjura Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk kebaikan sektor pendidikan di negara ini.
Beliau berkata ini penting memandangkan program seumpama itu mampu merapatkan hubungan warga PPD dengan masyarakat.
Salleh berkata Hari Terbuka PPD merupakan wadah terbaik untuk menyampaikan maklumat terkini dasar dan perkhidmatan pendidikan kepada pemegang taruh, pelanggan dan rakan strategik selain mengetengahkan bakat dan inovasi murid serta guru.
“Ini memberi peluang kepada agensi kerajaan, badan berkanun, NGO, masyarakat, komuniti, pihak ibu bapa dan murid mengenali secara lebih dekat lagi peranan dan tanggungjawab PPD,” katanya.
Salleh berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud 2023 di sini hari ini.
Tiurut hadir pegawai pendidikan daerah Kota Belud Dr Japran Kusin.
Mengenai pendidikan, bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata pendekatan pembelajaran secara konvensional memerlukan lonjakan evolusi sejajar perubahan teknologi hari ini agar tidak ketinggalan sehingga merugikan generasi masa depan.
“Dalam konteks moden, pendidikan dikaitkan dengan kelestarian, survival, daya saing, pembangunan dan kemajuan.
“Dari perspektif kelestarian tamadun manusia pula pendidikan dilihat sebagai proses berterusan pembangunan minda manusia, masyarakat dan negara supaya lebih progresif dan terus relevan,” katanya.