KOTA KINABALU: Naib Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Martin Tommy digantung keahliannya dalam parti itu, baru-baru ini.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung KDM, Dr Gaim James LunKapis yang memberitahu jawatan dipegang Tommy sebagai naib presiden dan penyelaras di peringkat bahagian juga secara automatik digantung.
“Ya memang benar, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat pimpinan tertinggi KDM, baru-baru ini, yang memutuskan beliau (Tommy) digantung keahlian.
“Berikutan itu juga, semua jawatan beliau dalam parti termasuk naib presiden dan penyelaras di peringkat bahagian turut digantung.
“Bagaimanapun, beliau masih boleh membuat rayuan kepada parti atas sebab penggantungan beliau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan sebab pergantungan peguam terbabit yang mula menyertai KDM sejak penubuhannya tahun lalu.
Selain naib presiden, Tommy merupakan penyelaras parti itu di Parlimen Pensiangan dan DUN Sook.