KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berpendapat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkemungkinan menggunakan “ekonomi” sebagai sandaran untuk mencapai cita-cita politiknya.
Beliau percaya Mahathir akan melakukan segenap hati untuk menarik pelaburan besar dari luar negara ke empat negeri – Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu – susulan pelantikannya sebagai penasihat ekonomi SG4.
Salleh berkata ini sekali gus akan menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa Mahathir merupakan tokoh terbaik yang mampu menarik pelabur asing.
“Saya fikir ini akan menjadi pelan tindakan segera beliau untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi menjamin kemunculan semula (dalam arena politik).
“Sebab itu Tun Mahathir perlu berada di barisan hadapan dan bukannya Tan Sri Muhyiddin. Dan itulah sebabnya ia wajar dilihat sebagai langkah ekonomi dan bukan politik,” katanya dalam catatan terbaharu Facebook.
Salleh berkata, “Perkara yang istimewa tentang Mahathir ialah beliau akan terlebih dahulu meraih sokongan popular dan mendapat keyakinan orang ramai sebelum membuat percaturan politik”.
“Sangat bijak beliau meletakkan asas menggunakan ekonomi, yang Muhyiddin tidak akan terfikir. Kita mungkin anggap langkah strategik ini sebagai ‘pendekatan tidak langsung’, yang merupakan prosedur operasi standard beliau,” katanya.
Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata memandangkan empat negeri itu pada asasnya adalah negeri Melayu, ini juga mungkin strategi Mahathir untuk mengukuhkan sokongan orang Melayu.
“Mahathir sangat berharap sokongan orang Melayu itu menjadi kenyataan; sebab itu dia bekerjasama dengan PAS. PAS pula mahu menggunakan imej Mahathir untuk menarik orang Melayu sederhana dan bukan Melayu,” tambahnya.
Menurut Salleh, Mahathir sentiasa bermain propaganda bagi mencapai matlamat dengan menghalalkan cara
(the end justifies the means)
“Dia juga memilih kawan dan musuhnya mengikut keadaan pada setiap kesempatan tertentu. Sebab itu, baginya, tiada kawan kekal dan tiada musuh kekal.
“Ini adalah gambaran sebenar sikap Tun Mahathir semasa krisis politik 2015 yang mana saya sendiri terlibat,” katanya.