KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkongsi pandangan bahawa “ulang tayang’ krisis politik 2015 mungkin boleh berlaku jika kerajaan perpaduan tidak berhati-hati dengan percaturan politik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamd.
Dalam politik, beliau berkata umur dan cita-cita tidak ada batasan.
Sebab itu, Said mengingatkan rakyat agar tidak mengetepikan sama sekali keupayaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamd untuk mengejar cita-cita politik.
“Jangan pandang rendah keinginan orang tua (veteran). Apabila berhadapan dengan musuh politik, bukan sahaja perbuatannya tetapi niatnya juga perlu diperhatikan, kerana jika tidak bertindak dahulu, padah menanti.
“Tun Mahathir berupaya menjadi Perdana Menteri sekali lagi jika semua musuhnya menganggap ini mustahil dan tidak berjaga-jaga,” katanya dalam catatan terbaharu Facebook.
Bekas menteri persekutuan itu berkata: “Tun Mahathir merupakan ahli politik yang sangat bijak; beliau lebih bijak daripada kebanyakan kita.”
“Beliau (Mahathir) mahu memilik pengaruh yang lebih berkesan dalam domain politik supaya dia boleh melemahkan pengaruh dan penguasaan Perdana Menteri. Dia mahir dalam permainan sebegini. Saya salute dia untuk itu,” tambahnya.
Menurut Salleh, Tun Mahathir sedang berfikir, dan tindakan seumpama itu
akhirnya mungkin membawa kepada krisis politik yang mungkin lebih besar daripada krisis politik 2015 yang dihadapi oleh Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak).
“PAS tidak akan menyokongnya melainkan mereka benar-benar percaya dengan kebolehan Tun Mahathir membuat percaturan politik.
“PAS pastinya percaya Tun Mahathir boleh berjaya di mana Tan Sri Muhyiddin gagal, iaitu kembali ke Putrajaya,” katanya.
Salleh percaya bahawa tindakan Tun Mahathir baru-baru ini untuk menjadi penasihat SG4 yang seakan menjadikan dirinya sebagai ketua de facto Perikatan Nasional hanyalah langkah pertama daripada banyak lagi langkah besar yang
akan datang.
“Walaupun langkah untuk menjadikan Tun Mahathir sebagai ketua de facto Perikatan National sememangnya satu langkah yang penting, langkah sebegitu hanya akan menjadi signifikan dan bermakna sekiranya Tun Mahathir anggota Parlimen dan kemudian menjadi Ketua Pembangkang.
“Beliau sepatutnya menggunakan pelantikan sebagai penasihat ekonomi kepada SG4 untuk meyakinkan semua ahli PAS tentang keikhlasannya,” kata Salleh yang juga ADUN Usukan.