Oleh Ahli Parlimen Beluran/
Pengerusi Perikatan Nasional Sabah, Datuk Dr Ronald Kiandee
KOTA KINABALU: Saya mendesak Kerajaan untuk segera nyahklasifikasikan perjanjian persempadanan maritim yang telah ditandatangani YAB Perdana Menteri pada 8 Jun lepas sempena lawatan kerja Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia demi untuk memelihara kepentingan awam.
Penyahklasifikasian kandungan perjanjian itu bukan sahaja bakal menjawab persoalan sejauh manakah Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani tersebut tidak melibatkan kawasan blok Ambalat tetapi ianya juga bakal menoktahkan spekulasi serta kebimbangan rakyat berhubung sempadan separa laut wilayah antara dua negara di Laut Sulawesi seperti yang dikatakan oleh Kerajaan.
Blok ambalat iaitu kawasan seluas 15,000 km persegi di tengah-tengah wilayah pertikaian di luar pantai Sabah ini mengandungi sumber minyak mentah terbesar di dunia dan telah dipertahankan oleh Malaysia sekian lama maka ianya tidak boleh digadai sama sekali.
Apatah lagi pakar maritim yang terlibat dalam usaha melindungi hak wilayah Malaysia telah memberi amaran kepada Putrajaya supaya tidak menandatangani sebarang perjanjian baru untuk menyelesaikan pertikaian sempadan yang berlarutan dengan Indonesia. Mereka berkata Malaysia tidak sepatutnya berkompromi terhadap tuntutannya ke atas kawasan tertentu.
Kita tidak boleh tolak ansur atau berkompromi dalam soal kedaulatan negara khususnya perairan Sabah, yang juga melibatkan zon ekonomi eksklusif (ZEE) serta pelantar benua antara Malaysia dan Indonesia.
Jadi tentu sekali penting untuk didedahkan apa yang dimeterai dalam perjanjian itu supaya spekulasi tidak berpanjangan dan sebagai bukti jelas perjanjian berkenaan tidak langsung melibatkan kawasan yang dirujuk Malaysia sebagai Blok ND6 dan Blok ND7 atau Ambalat.
Lebih merisaukan apabila laporan beberapa media baru-baru ini yang melaporkan Malaysia dan Indonesia akan bekerjasama dalam penerokaan sumber minyak dan gas di blok Ambalat yang telah merujuk kenyataan Ketua Pengarah Minyak dan Gas Indonesia sendiri, iaitu Tutuka Ariadji.
Tindakan segera untuk nyahklasifikasikan kandungan perjanjian ini akan memberi pededahan umum berhubung isu Anbalat dan akan merungkai keraguan serta kerisauan rakyat Malaysia, khususnya di kalangan rakyat Sabah.