HULU LANGAT (Selangor): Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mampu mempertahankan Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Pada masa sama, aura gelombang sokongan kepada gabungan BN-PH juga dirasai yang mahu perubahan kepimpinan di Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata berkata, apabila dua gabungan parti politik terbesar ini terbentuk sudah tentu bilangan kemenangan kerusi di tiga negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan bertambah.
Katanya, perlu diingat hanya BH-PH yang memenangi kerusi terbanyak di Negeri Sembilan manakala Perikatan Nasional (PN) tewas pada pilihan raya ke-14 lalu.
“Apabila kami turun membantu kempen turun ke negeri Kedah, kelihatan golombang serta perubahan sudah mula dirasai di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di sana.
“Puluhan ribu masyarakat serta pengundi turun hadir mendengar ceramah dalam siri jelajah Kerajaan Perpaduan yang melibatkan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya di sini, hari ini.
Mohd Rafi menambah gelombang perubahan besar akan berlaku disamping kelibat nakal ‘Menteri Besar Kedah’ adalah penyumbang besar pengundi beralih kepada Kerajaan Perpaduan pada 12 Ogos ini nanti.
Mohd Rafi yang juga Ketua Bahagian UMNO Labuan berkata, pengundi di Kedah, Kelantan dan Terengganu sangat memerlukan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan masalah infrastruktur termasuk bekalan air serta pembangunan dapat diselesaikan segera.
Katanya penduduk yang tinggal di ketiga-tiga negeri itu lebih tahu serta menderita akibat masalah air berbanding mereka (pengundi) yang datang dari luar ke kawasan berkenaan.
“Apabila pengundi-pengundi yang duduk di Kuala Lumpur, Selangor balik mengundi nanti mereka inilah akan mengundi parti pembangkang.
“Tetapi yang merasakan kesusahan di tiga negeri ini adalah ibubapa mereka…Sebab itulah perubahan besar akan berlaku sekali gus pengundi akan memilih Kerajaan Perpaduan pada 12 Ogos ini nanti,” kata Mohd Rafi.