UMS adakan lawatan penanda aras ke Hanyang University ERICA, Korea Selatan

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor bersama Dekan Fakulti, Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Prof. Madya Dr. Mohd. Rahimie Abdul Karim mengadakan kunjungan ke Hanyang University ERICA di Korea Selatan pada Selasa.

Advertisements

Kunjungan tersebut antara lain bertujuan sebagai penanda aras FPEP bagi mendapatkan maklumat dan perkongsian daripada universiti itu terutamanya berkaitan proses akreditasi di peringkat antarabangsa.

Menurut FPEP, perbincangan antara kedua universiti tertumpu kepada perkongsian amalan terbaik dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

“Isu yang dikupas adalah merangkumi aspek kualiti, kreativiti dan inovasi dalam sesebuah kuliah.

“Selain itu, perbincangan turut menumpukan keterlibatan industri dalam kurikulum seperti pembelajaran berasaskan masalah melalui “real case basis” yang dilihat sebagai satu aspek penting bagi memastikan pelajar mendapat ilmu dan pendedahan selaras dengan perkembangan semasa industri,” ujar FPEP dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, FPEP kini dalam usaha ke arah pengiktirafan di peringkat global termasuk mendapatkan akreditasi daripada Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB), Alliance On Business Education And Scholarship For Tomorrow A 21st Century Organization (ABEST21), Times Higher Education (THE), QS World University Rankings, dan UI Green Metric World University Ranking.

Usaha tersebut dilihat sebagai jambatan untuk membawa FPEP dan UMS berdiri setanding dengan universiti bertaraf dunia yang lain sekali gus memberi impak positif kepada fakulti itu dalam pasaran global.

Dalam kunjungan berkenaan, delegasi UMS disambut Naib Presiden Eksekutif Hanyang University, Prof. Dr. Dong-Hyun Baek; Timbalan Dekan, Prof. Dr. Sungho Yun; dan Pengarah Hubungan Antarabangsa, Kim Dong ll.

Universiti itu turut berkongsi pengalaman akreditasi pendidikan global yang disampaikan Prof. Junyoung Kim dan Prof. Madya Kyoung Won Park.

Turut hadir Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UMS, Prof. Dr. Jumat Sulaiman; Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) FPEP, Dr. Sharifah Milda Amirul; Pengarah Pusat Luar UMS, Dr. Lim Thien Sang; Pengarah Akreditasi AACSB FPEP, Rosle Mohidin; dan Pengurus akreditasi AACSB FPEP, Dr. Izaan Jamil.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles