KOTA KINABALU: Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony berharap, peruntukan interim RM300 juta yang akan disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan akan digunakan sebaik mungkin bagi mengatasi masalah infrastruktur dan kemudahan asas di negeri ini.
Sambil menyambut baik pengumuman peruntukan berkenaan, Peter berkata, sudah tiba masanya kerajaan menyelesaikan secara agresif masalah-masalah yang dihadapi negeri ini.
Katanya, masalah seperti jalan raya rosak, bekalan air dan bekalan elektrik sudah sekian lama menghantui penduduk Sabah dan sudah pastinya satu jalan penyelesaian menyeluruh perlu dirancang dengan segera.
“KDM sambut baik pengumuman itu (peruntukan interim RM300), ianya pasti memberi manfaat kepada negeri Sabah khususnya dalam aspek pembangunan.
“Saya juga berharap, peruntukan itu akan digunakan sebaik mungkin termasuk memberi perhatian kepada masalah infrastruktur dan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik.
“Sejak kebelakangan ini kita sering mendengar keluhan-keluhan dari rakyat mengenai masalah ini, sudah tiba masanya kita selesaikan secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Peter berkata, pemberian peruntukan interim RM300 juta itu membuktikan kesungguhan kerajaan perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjaga kepentingan Sabah serta Sarawak.
Katanya, peruntukan yang bersifat interim juga diyakini semakin membawa kepada penyelesaian hak negeri berhubung tuntutan 40 peratus hasil yang dikutip kerajaan persekutuan di negeri ini.
“Begitu banyak sekali inisiatif-inisiatif yang telah dilakukan Perdana Menteri untuk kebaikan Sabah dan juga Sarawak.
“Saya juga yakin, kerajaan perpaduan yang dipimpin Anwar akan dapat mencari penyelesaian terbaik berkenaan hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Peruntukan RM300 juta yang diumumkan adalah penyelesaian bersifat interim, saya yakin usaha kita untuk dapatkan 40 peratus hasil yang dikutip kerajaan persekutuan kini berada di landasan betul,” katanya.
Jawatankuasa Teknikal MA63 menerusi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, semalam, mengumumkan bahawa Sabah dan Sarawak akan menerima bayaran khas RM300 juta daripada kerajaan persekutuan pada tahun ini.
Jumlah itu menunjukkan kenaikan RM40 juta berbanding RM260 juta yang diumumkan Putrajaya pada Januari lalu, yang akan dibayar secepat mungkin.