KOTA KINABALU: Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berpendapat persidangan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) amat penting bagi mempertahankan, memelihara kebebasan dan kedaulatan negara demokrasi.
Beliau berkata Parlimen perlu terus menjadi satu perhimpunan bagi membincangkan hal-hal melibatkan kepentingan negara.
“Ia juga penting bagi melancarkan proses meluluskan dan meminda Undang-Undang Persekutuan selain memeriksa dasar-dasar kerajaan serta meluluskan Bajet Kerajaan dan cadangan cukai yang baru,” katanya dalam catatan terbaharu di blognya.
Kali terakhir Dewan Rakyat bersidang ialah pada 17 Disember tahun lepas manakala Dewan Negara pada 29 Disember tahun yang sama.
“Pada pandangan saya, Mac adalah waktu yang tepat untuk menyahut titah Baginda yang tidak menafikan persidangan Parlimen dilaksanakan,” katanya.
Salleh berkata Yang di-Pertuan Agong memperkenankan Proklamasi Darurat bukan bertujuan untuk menggantung sidang Parlimen.
“Malah baginda turut menegaskan hasrat sebenarnya Darurat tersebut adalah bagi menangani penularan wabak Covid-19.
“YDP telah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang ketika Darurat. Ia dizahirkan melalui Kenyataan Media Istana Negara bertarikh 12 Januari lalu,” katanya.
Salleh menegaskan bahawa tiada peruntukan menggantung Parlimen atau halangan mengadakan pilihan raya di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan pada 14 Januari 2021.
Ordinan Darurat yang dikuatkuasa hanya menggantung kuat kuasa peruntukan yang menyentuh batasan masa untuk memanggil persidangan Parlimen,” katanya.
Beliau berharap Malaysia akan terus menjadi sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan.