KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) akan menjadi pelopor untuk menganjurkan jerayawara melalui beberapa forum ke arah pemahaman konsep Malaysia Madani oleh masyarakat, khasnya umat Islam di Sabah.
Enam Zon di Sabah telah dikenal pasti untuk dijadikan tuan rumah forum itu yang bertemakan `Keharmonian Dalam Kepelbagaian’.
Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Haji Ahmad, berkata Forum tersebut dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Tugas-Tugas Khas) Jabatan Ketua Menteri Sabah.
Agensi lain yang terlibat termasuk Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Baitulmal Negeri Sabah.
Sapawi berkata demikian kepada media selepas menghadiri jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran USIA Pusat di Dewan Utama USIA, di sini semalam.
Majlis itu dianjurkan untuk mengeratkan silaturahim antara kakitangan dan pemimpin USIA.
Sapawi berkata forum pertama telah diadakan di Kota Kinabalu pada 9 Mac lalu yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dengan dihadiri lebih 500 orang.
Untuk Zon Sandakan, forum akan diadakan pada 17 Mei, manakala Zon Tawau (21 Mei), Zon Pantai Barat Utara di Kudat (1 Jun), Zon Pedalaman Bawah di Sipitang (6 Jun) dan Zon Pedalaman Atas (20 Jun).
Setiap Forum akan dihadiri lebih 500 orang peserta.
Sapawi berkata USIA merupakan antara badan bukan kerajaan (NGO) yang terawal menyahut saranan kerajaan dalam menerapkan konsep Malaysia Madani memandangkan konsep berkenaan telah sebati dengan budaya hidup harmoni yang menjadi amalan pendiduk negeri Sabah.
Turut hadir dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri USIA itu termasuk Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Naib Yang Dipertua USIA Datuk Arshad Idris, Setiausaha Agung USIA Iman Ali, dan Ketua Penerangan USIA Datuk Abdullah Hussin.