KINABATANGAN: Lebih 5,000 orang membanjiri Dewan Masyarakat Sri Lamag bagi menghadiri Majlis Rumah Terbuka Jalinan Mesra Aidilfitri UMNO/BN Kinabatangan Isnin lepas
Majlis yang diserikan dengan persembahan hiburan artis-artis tempatan itu dihadiri Ketua Umno Bahagian Kinabatangan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Arifin, Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak, Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir, Barisan kepimpinan UMNO Bahagian Kinabatangan ,Ketua-Ketua UMNO Bahagian dari beberapa bahagian antaranya Lahad Datuk, Libaran Beaufort, Kota Belud, dan Pansiangan, Kudat Batu Sapi dan Putatan.
Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional Kinabatangan ketika ditemui selepas majlis itu berkata,tradisi rumah terbula secara tidak langsung menjadi wadah untuk merapatkan hubungan pelbagai kaum di negeri ini.
Menurut beliau era globalisasi kini sudah banyak menjarakkan hubungan antara manusia susulan kehadiran gajet yang canggih sehingga susah bergaul dengan masyarakat di sekeliling.
“Pada asasnya, kita melihat amalan rumah terbuka bukan sekadar untuk meraikan rakan taulan dengan hidangan disediakan, tetapi ada rahmat yang tersembunyi di sebalik amalan rumah terbuka. Antaranya ialah ia dapat memupuk semangat kekitaan dan kejiranan. Warga kota misalnya, mereka tidak punya banyak masa untuk berkenal kenalan dengan lebih rapat dengan jiran mereka disebabkan kesibukan mengejar masa dan kerjaya,” katanya.
Menurut Bung sudah menjadi amalan rakyat Malaysia tradisi atau amalah rumah terbuka seakan menjadi kemestian bagi setiap perayaan utama seperti Hari Raya,Deepavali dan Tahun Baharu Cina.
“Hari Raya Aidilfitri misalnya disambut meriah setiap tahun oleh semua kaum di negara ini tanpa mengira agama dan keturunan. Masyarakat Melayu rata-rata akan mengadakan rumah terbuka bagi meraikan tetamu dan jiran tetangga serta rakan taulan, jauh dan dekat, justeru amalan rumah terbuka, sedikit sebanyak memberi ruang kepada ahli kejiranan untuk sekurang-kurangnya mengenali jiran mereka,” katanya.
Tambah Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan ,amalan rumah terbuka juga sangat berperanan dalam memupuk semangat perpaduan antara kaum di Malaysia. Dengan menghadirkan diri ke rumah terbuka sesuatu kaum itu, dapat melihat dan menyaksikan budaya masyarakat lain.
Malah menurut beliau budaya rumah terbuka akan mendidik sikap hormat menghormati terhadap amalan kaum lain dan ini secara tidak langsung budaya rumah terbuka akan mendidik jiwa masyarakat pelbagai kaum di negara ini untuk menerima kepelbagaian budaya yang wujud di negara ini.
“ Sejak akhir-akhir ini dilihat begitu banyak individu tertentu yang sengaja menimbulkan isu sensitiviti keagamaan dengan menghina agama lain justeru amalan rumah terbuka ini merupakan pendekatan untuk menangani eleman negetig ini ,” Katnya.
Menurut Bung amalan rumah terbuka adalah keunikan yang hanya ada di Malaysia dan tidak ada di negara lain. Tradisi ini perlu diteruskan dan perlu menjadi contoh kepada generasi baharu bahawa negara ini mempunyai cara tersendiri untuk memupuk perpaduan dan keharmonian antara kaum.
“Ia adalah amalan nenek moyang orang Melayu, Cina dan India sejak turun temurun dan diharap ia terus kekal di tengah modenisasi dan globalisasi yang ada kalanya boleh menghakis jati diri dan sifat kemasyarakatan,” katanya.