Oleh: Jaafar Abd Wahid
MENUMBOK: Al-Quran merupakan panduan dan rujukan terpenting umat Islam dalam segenap aspek kehidupan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Hajah Siti Aminah Aching berkata, melalui amalan membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan kalam ALLAH itu, ia berupaya menjadi inspirasi dan pemangkin semangat bagi masyarakat Islam untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan di akhirat.
“Penghayatan terhadap mesej yang terkandung dalam al-Quran juga dapat menyuntik motivasi diri agar lebih maju dan berjaya dalam kehidupan,” katanya ketika berucap di majlis Santunan Kasih Ramdahan dan Majlis Khatam Al-Qurang di Masjid Nur Ehsan Pekan Menumbok pada Selasa.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Kecil Menumbok Abd Karim AM Zahari, Ketua UMNO Bahagian Beaufort Datuk Awang Asli Lakat, Pengerusi Masjid Nur Ehsan Ahmad Zinin dan Bendahari UMNO bahagian Beaufort Pg Japar Pg. Osman.
Menurut Siti Aminah yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, membaca al-Quran mengandungi fadilat besar yang sukar untuk ditolak oleh sesiapa pun dimana Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang begitu banyak kepada golongan yang membaca al-Quran sebagai rutin harian mereka.
Siti Aminah berkata seperkara lagi, perlu diketahui bahawa dalam al-Quran terkandung pelbagai mesej dan nilai-nilai RAHMAH (Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat) yang dapat dihayati oleh umat Islam.
“Pemahaman terhadap nilai-nilai dan mesej RAHMAH itu akan dapat menjadi panduan dan pengajaran dalam usaha kita menterjemahkan Islam sebagai agama rahmah dalam kehidupan” katanya
Siti Aminah yang juga Ahli Parlimen Beufort menambah walaupun berdepan cabaran untuk memperkukuhkan kefahaman dan penghayatan masyarakat kepada al-Quran, namun usaha menganjurkan pelbagai inisiatif bagi memupuk budaya mencintai dan mendekati al-Quran perlu diteruskan dan dipergiatkan dalam kalangan masyarakat Islam bermula daripada keluarga kita sendiri.
“Program seperti ini perlu disemarakan bukan saja di bulan ramadahan tapi jawatankuas masjid boleh merancang serta melaksanakan program program penghayatan al-Quran terus disemarakkan serta disebar luaskan kepada semua pihak dan golongan masyarakat dalam mendaulatkan kitab suci al-Quran yang menjadi rujukan utama dalam kehidupan seharian seorang Muslim,” katanya.
Pada majlis tersebut Siti Aminah juga turut berbuka puasa bersama masyarakat Islam setempat menyampaikan sumbangan kepada 119 orang golongan asnaf dab sumbangan duit raya untuk kanak-kanak.