KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mewakili kerajaan mengunjungi dan menyampaikan salinan laporan akhir kemalangan udara pesawat Sabah Air Nomad N-22B 9M-ATZ, kepada keluarga mangsa tragedi itu.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang menyampaikan salinan laporan nahas kapal terbang yang berlaku pada 6 Jun 1976 kepada kedua-dua balu Datin Nancy Mary Mobijohn neé Mojuntin isteri mendiang Datuk Peter Mojuntin dan Datin Jiklin Binion isteri mendiang Datuk Darius Binion di rumah kediaman mereka.
Dalam mesyuarat kabinet pada Rabu (kelmarin) Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Ewon dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas Datuk Armizan Mohd Ali mewakili kerajaan untuk menyampaikan salam takziah dan salinan laporan rasmi siasatan kepada waris dan keluarga mangsa.
“Saya dan Armizan berbangga kerana dapat memainkan peranan meyakinkan dan mendapat sokongan daripada kabinet supaya laporan ini diklasifikasi sebagai umum.
“Selepas hampir 50 tahun pertanyaan rakyat Sabah terhadap peristiwa malang “Double Six”, kerajaan hari ini di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Anwar telah membuat keputusan di kabinet untuk menurun taraf laporan ini supaya dapat diberikan kepada ahli-ahli keluarga yang terlibat dan juga untuk bacaan seluruh rakyat Malaysia.
“Bagi pihak pimpinan, kami ingin menyampaiakan ucapan simpati kepada ahli-ahli keluarga pemimpin kita yang sebenarnya boleh membawa Sabah kepada satu halatuju yang lain. Saya percaya, mungkin berlainan sekiranya mereka masih ada.
“Tetapi kerana peristiwa malang itu, maka kita kehilangan pemimpin yang besar di Sabah. Apa yang penting, kini laporan itu diklasifikasikan menjadi pengetahuan umum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan salinan laporan itu kepada keluarga mendiang Datuk Peter Mojuntin di Kg.Hungab Penampang, di sini, hari ini.
Ewon berkata, menjadi tanggungjawabnya untuk mengemukakan kepada kabinet perkara-perkara yang dibangkitkan keluarga mangsa nahas kapal terbang berkenaan.
“Setakat ini kabinet belum dimaklumkan tentang apa-apa permohonan secara rasmi daripada pihak keluarga yang terlibat tetapi saya membaca kenyataan Datuk Donald Mojuntin selaku seorang anak kepada mendiang Datuk Peter Mojuntin yang mencadangkan supaya ada siasatan seterusnya.
“Selain itu, beliau juga meminta supaya buku Peter Mojuntin The Golden Son Of The Kadazan dapat diedarkan. Perkara ini saya telah bangkitkan di Kabinet kelmarin supaya buku tersebut tidak dihalang untuk diedarkan.
“Saya percaya Menteri Dalam Negeri akan memberi maklum balas pandangan tersebut dalam mesyuarat kabinet seterusnya,” katanya.
Pada 5 April lalu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan membuat keputusan mendedahkan laporan akhir tragedi Double Six selepas mengambil kira tuntutan keluarga waris selain pandangan rakyat Sabah yang inginkan maklumat terperinci berhubung kejadian itu.
Dalam nahas pesawat Sabah Air itu, seramai 11 orang terkorban termasuk Ketua Menteri Sabah ketika itu Tun Fuad Stephens, Peter Joinod Mojuntin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah), Chong Thien Vun (Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah) dan Salleh Sulong (Menteri Kewangan Sabah).
Turut terkorban Darius Binion (Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah), Wahid Peter Andau (Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah), Dr Syed Hussein Wafa (Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah), Ishak Atan (setiausaha sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia), Koperal Said Mohammad (pengawal peribadi Ketua Menteri Sabah), Johari Fuad Stephens (anak ketua menteri) dan Gandhi J Nathan (juruterbang pesawat 9M-FTZ).
Pesawat udara Nomad 9M-ATZ keluaran Australia yang dikendalikan Sabah Air membawa rombongan berkenaan dalam perjalanan dari Labuan sebelum terhempas di Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.