Oleh Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan, Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS)
KOTA KINABALY: Saya menyambut baik kelulusan usul pindaan Perlembagaan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) dalam Persidangan Agung Khas parti yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.
Pindaan ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh struktur organisasi parti menerusi penstrukturan semula daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian berasaskan 25 kawasan Parlimen di Sabah serta Parlimen Labuan.
Langkah ini bukan sekadar perubahan pentadbiran dalaman, tetapi satu penyusunan strategik bagi memastikan gerak kerja parti menjadi lebih tersusun, cekap dan berkesan di semua peringkat. Penyelarasan bahagian mengikut kawasan Parlimen akan membantu memperkemas koordinasi jentera, mengurangkan pertindihan tugas serta membolehkan pemantauan parti dilaksanakan secara lebih jelas dan berfokus.
Saya yakin pindaan ini akan terus memperkukuh kedudukan PGRS sebagai sebuah parti tempatan Sabah yang mempunyai hala tuju jelas, disiplin organisasi yang mantap dan kesiapsiagaan tinggi dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Dalam landskap politik yang sentiasa berubah, parti memerlukan struktur yang lebih kukuh agar setiap keputusan dapat diterjemahkan kepada gerak kerja yang pantas dan berkesan di lapangan.
Pada masa sama, penyusunan semula ini tidak sesekali menafikan jasa serta peranan ahli akar umbi yang telah membina kekuatan parti selama ini. Sebaliknya, pindaan ini bertujuan menggabungkan seluruh kekuatan tersebut dalam satu struktur yang lebih besar, tersusun dan mampu menggerakkan agenda perjuangan parti demi kestabilan politik serta pembangunan negeri Sabah.
Perkembangan terbaharu yang menyaksikan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Liawan, Rasinin Kautis bersama kira-kira 150 ahli Warisan Liawan mengambil keputusan menyertai PGRS juga merupakan isyarat jelas bahawa perjuangan parti terus mendapat keyakinan rakyat serta pemimpin akar umbi.
Kemasukan mereka membuktikan pendekatan kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang menekankan kestabilan politik, pembangunan rakyat dan kepimpinan mesra rakyat terus diterima pelbagai lapisan masyarakat.
Saya percaya keputusan Rasinin bersama barisan kepimpinan Warisan Liawan untuk bersama PGRS akan menjadi suntikan baharu kepada kekuatan parti, khususnya di kawasan Liawan dan pedalaman Sabah.
Ini bukan sekadar penyertaan politik biasa, tetapi manifestasi keyakinan terhadap hala tuju PGRS sebagai platform tempatan yang mampu memperjuangkan aspirasi rakyat Sabah secara lebih tersusun, matang dan berkesan.
PGRS akan terus mendukung kepimpinan Presiden parti, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam memastikan perjuangan parti kekal berpaksikan kepentingan rakyat, kestabilan kerajaan negeri serta agenda pembangunan Sabah Maju Jaya.
Keutamaan kita adalah memastikan politik Sabah terus bergerak atas landasan kestabilan, perpaduan dan keupayaan menyelesaikan masalah rakyat.
Saya menyeru seluruh kepimpinan dan ahli PGRS di semua peringkat agar menerima pindaan ini dengan semangat kekeluargaan, disiplin dan kesatuan. Dalam masa sama, kita mengalu-alukan penyertaan rakan-rakan baharu ke dalam PGRS sebagai sebahagian daripada keluarga besar perjuangan parti.
Inilah masanya untuk kita memperkukuh saf, memperkemas jentera dan terus melangkah sebagai sebuah parti tempatan Sabah yang matang, tersusun dan bersedia memikul amanah rakyat.
