Gambar Hiasan
KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) mengekalkan pendirian “membantah” pembinaan Patung Mazu berhampiran Masjid Daerah Kudat, kerana boleh mengganggu khusyuknya ibadah umat Islam.
Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Haji Ahmad berkata ketetapan yang dinyatakan kali ini adalah konsisten dengan pendirian Kepimpinan USIA sebelum ini, iaitu MEMBANTAH SEKERAS-KERASNYA pembinaan Patung Mazu di tapak asal yang dicadangkan berhampiran Masjid Daerah Kudat, dalam tahun 2005.
Sapawi mengeluarkan kenyataan ini sebagai respon terhadap usaha untuk meneruskan pembinaan patung itu.
“Bukanlah niat USIA untuk menghalang usaha Kerajaan Negeri untuk menarik kemasukan pelancong ke Negeri Sabah termasuk ke daerah Kudat, tetapi yang mesti diberi keutamaan adalah, sensitiviti dan kemaslahatan umat Islam itu sendiri” ujarnya.
Difahamkan Kerajaan Negeri pada ketika isu Patung Mazu heboh dipertikaikan, telah menyediakan tapak yang sesuai untuk patung itu, tetapi tiada usaha untuk menyahut tawaran berkenaan.
Kini, ada pihak yang cuba mengetengahkan semula pembinaan Patung Mazu dengan pelbagai alasan.
Justru, sekali lagi USIA menyatakan pendirian tegas membantah sekeras-kerasnya pembinaan Patung Mazu di tapak asal ia dicadangkan.