KOTA KINABALU: Tujuh daripada 95 calon yang layak bertanding untuk mengisi jawatan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (AMT) Umno bagi sesi 2023-2026 merupakan tokoh-tokoh politik yang mewakili Sabah.
Mendahului cabaran AMT dari Sabah ialah Ketua Umno Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang mempertahankan jawatan AMT
Penyandang yang lain dari Sabah yang juga akan mempertahankan jawatan tersebut pada sesi pemilihan kali ini ialah Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang merupakan Ketua Wanita UMNO bahagian Papar dan Ketua UMNO bahagian Tuaran Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Calon-calon lain dari Sabah yang mempertaruhkan nasib mereka pada pemilihan AMT bagi sesi 2023-2026, ialah Timbalan Menteri Luar Negeri yang juga Ketua Umno bahagian Kimanis Datuk Mohamad Alamin, Ketua bahagian Umno Beluran Julie Sabran, Ketua Umno bahagian Penampang Datuk Mohd Asnol Ayub dan Ketua Umno bahagian Tawau Ghazalie Ansing.
Satu-satunya calon dari Wilayah Persekutuan Labuan yang turut menawarkan diri dalam pemilihan Ahli Majlis tertinggi UMNO bagi sesi 2023-2026 ialah Ketua Umno Bahagian Labuan Datuk Paduka Mohd Rafi Alli Hussin.
Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) memaklumkan bahawa secara keseluruhannya seramai 383 orang calon layak bertanding pada Pemilihan UMNO sesi 2023/2026 di peringkat pusat.
Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Samad berkata seramai lapan orang menawarkan diri bertanding bagi jawatan Naib Presiden, 95 orang calon bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO; Pengerusi Tetap (2 orang) manakala Timbalan Pengerusi Tetap (10 orang) yang kesemuanya berjumlah 115 orang.
“Pada 26 Februari kita telah menerima calon di peringkat tertinggi seramai 115 calon yang mendaftarkan diri dan kita telah melakukan semakan dari segi kelayakan. Manakala 95 orang bagi Ahli MKT,” katanya menerusi Wawancara Khas Sempena Pemilihan UMNO yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online
Sementara itu, bagi jawatan Naib Presiden UMNO turut menyaksikan lapan calon sah merebut jawatan tersebut.
Dua daripada calon itu ialah penyandang jawatan berkenaan iaitu Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Ahli Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Tiga lagi calon ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Turut bertanding Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohammad dan Mohd Yusof Musa@Jamaludin yang merupakan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri.
Sementara itu, Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah ketika ditanya mengenai calon-calon yang menawarkan diri untuk mengisi pelbagai jawatan dalam pemilihan UMNO kali ini menyifatkan parti itu masih relevan dengan kepelbagaian latar belakang yang menawarkan diri untuk merebut tempat di peringkat pusat yang sudah tentu mampu memperkasakan UMNO menghadapi cabaran akan datang.
Katanya, demokrasi dalam UMNO tetap subur dengan jumlah calon yang menawarkan diri pada pemilihan kali ini termasuk 7 calon dari Sabah
“Kita yakin ramai calon gandingan muka lama dan muka baru dari pelbagai latar belakang akan dapat memberikan sumbangan pemikiran, menyatukan dan memperkaskan UMNO untuk menghadapi cabaran akan datang,” jelas Bung
Bung menambah Pemilihan UMNO bagi penggal 2023 hingga 2026 khususnya di Sabah amat menarik dan masyarakat di luar menjangkakan tiada sambutan pada pemilihan ini tapi penyertaan semua calon yang bertanding itu dari pelbagai bidang, umur dan peringkat mendapat sambutan yang luar biasa dan ini cukup menjelaskan UMNO di Sabah masih subur biarkan pun berlaku tsunami kecil politik dengan tindakan sebilangan ahli dan pemimpin UMNO keluar parti dan menyertai parti lain tapi itu bukanlah gambaran sebenarnya ahli UMNO diperingkat akar umbi yang kini mencecah hampir 600,000 orang di Sabah.
“Saya mengharapkan agar ahli dapat menjadikan persidangan kali ini sebagai flatfrom untuk memperkukuhkan dan perkasakan parti selepas pemilihan ini,” katanya.