SMK Benoni dipilih Sekolah Angkat MADANI KPDN bagi tahun 2026, bakal terima RM100,000 untuk kerja naik taraf

Oleh: JT

PAPAR: SMK Benoni, Papar telah dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi tahun 2026.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kementerian itu sebelum ini telah melaksanakan program tersebut di SK Tikam Batu di Sungai Petani, Kedah, pada tahun 2025.

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM100,000 untuk SMK Benoni itu akan digunakan, antara lain, bagi menaik taraf bengkel Sains Rumah Tangga serta bengkel Reka Bentuk Pakaian dan Jahitan di sekolah berkenaan.

“Kerja naik taraf kedua-dua bengkel ini mengambil kira hakikat bahawa SMK Benoni merupakan satu-satunya sekolah di Sabah yang menawarkan mata pelajaran Reka Bentuk Pakaian dan Jahitan,” katanya semasa melancarkan Program Sekolah Angkat MADANI KPDN 2026 di sekolah tersebut di sini, pada Jumaat, 25 Sept 2026.

Armizan, yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, sebahagian daripada peruntukan itu juga akan digunakan untuk kerja-kerja pembaikan tambahan pada bumbung ruang solat sekolah serta pembelian aset bagi meningkatkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran.

SMK Benoni juga akan menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada agensi-agensi KPDN dan syarikat swasta, tambah beliau.

“Sumbangan ini merangkumi pembinaan dewan serbaguna, peralatan bilik darjah dan bahan bantu mengajar, sokongan bagi program kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah, serta bantuan kewangan untuk pelajar dalam golongan asnaf, kurang berkemampuan dan anak yatim,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Sabah Urban Development Coporation  (SUDC) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra.

Diperkenalkan pada tahun 2025, Program Sekolah Angkat MADANI bertujuan memperkukuh pendidikan holistik menerusi kerjasama antara kementerian dan agensi kerajaan, sektor swasta serta komuniti.

Program ini memberi tumpuan kepada pembangunan sosial, pemerkasaan komuniti sekolah, pembangunan sahsiah dan pembangunan kemahiran pelajar.

Bagi tahun 2026, kerajaan persekutuan telah memperuntukkan RM50 juta untuk program tersebut, dengan RM100,000 diperuntukkan kepada setiap kementerian bagi melaksanakan projek dan inisiatif di sekolah-sekolah terpilih.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles