UMNO tetap pendirian mahu Kerajaan Perpaduan di Sabah libatkan semua parti dalam kerajaan persekutuan

KOTA KINABALU: UMNO kekal dengan pendirian bahawa kerajaan perpaduan di Sabah wajar melibatkan semua parti dalam kerajaan persekutuan.

Advertisements

Presiden UMNO Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata konsep kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan seharusnya diterjemahkan di peringkat kerajaan negeri.

“Sudah tentulah kita mahu konsep kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan dapat diterjemahkan di Sabah,” katanya.

Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas badan perhubungan UMNO Sabah di di sini hari ini.

Mengenai mesyuarat itu, beliau berkata UMNO membuat beberapa ketetapan dalam mendepani kedinamikan politik Sabah.

Beliau berkata ini termasuk meminta tempoh bertenang sehingga solusi polemik politik di negeri ini dicapai.

“Kita telah mengadakan perbincangan yang cukup terbuka. Untuk tempoh bertenang ini, kami berpandangan bahawa tidak ada perkara atau isu yang tidak boleh diselesaikan,” katanya.

Zahid berkata tumpuan UMNO sekarang ialah memberi keutamaan kepada agenda rakyat Sabah dan juga memberi pencerahan terhadap kekeliruan yang ada.

“Saya yakim bahawa keberadaan saya ini merupakan satu ‘signal’ bahawa kepimpinan parti di peringkat pusat tidak pernah mengambil enteng atau mengambil ringan perkara-perkara yang sedang berlaku di Sabah.

“Saya mengambil inisiatif sendiri untuk menangani isu ini dan apa yang akan saya lakukan seterusnya itu akan diketahui dalam tempoh terdekat supaya penyelesaian secara tuntas dapat dicapai oleh kedua belah pihak.
“Saya juga memohon tidak ada interpretasi atau spekulasi atau sebarang kenyataan yang bercakap sama ada di pihak kami atau di sebelah sana,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, apa yang penting ialah mencari titik persamaan dan menyantuni titik perbezaan antara kedua belah pihak.

Mengenai status empat anggota UMNO yang menyertai kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini, beliau berkata parti itu mahu mencari penyelesaian secara aman (amicable solution) bagi menangani perkara itu.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles